Trak vaksinasi Covid-19 bantu penduduk Sandakan terima suntikan

in Edisi by

SANDAKAN – Penduduk Sandakan yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana kekangan kenderaan khususnya mereka yang tinggal di kawasan terpencil serta ladang kini tidak perlu risau kerana boleh memanfaatkan kemudahan trak vaksinasi.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Asits Sanna berkata, trak vaksinasi itu akan digerakkan menerusi Projek Penilaian Pantas dan Operasi Vaksinasi (RAVO) ke kawasan ladang serta kampung bagi menjejak penduduk yang belum divaksin.

“Menerusi RAVO, selain vaksinasi rumah ke rumah, pemberian vaksin Covid-19 juga akan dilakukan dalam trak ini.

“Selepas RAVO ini, trak vaksinasi sumbangan syarikat CepatWawasan Group Bhd itu akan ditempatkan di Klinik Kesihatan Gum Gum,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan trak itu oleh Pengurus Besar CepatWawasan Group Bhd, P Maniam kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar.

Dr Asits berkata, kebanyakan penduduk yang belum divaksinasi adalah warga emas yang uzur, orang kurang upaya serta mengalami kekangan pergerakan untuk ke pusat pemberian vaksin disebabkan tiada kenderaan.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, individu yang belum mendapatkan vaksin Covid-19 dan mempunyai pertanyaan boleh menghubungi hotline Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di talian 0196051196.

“Golongan antivaksin juga boleh menghubungi talian hotline disediakan dan kami sedia membantu memberi penerangan kebaikan vaksin kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Maniam berkata, sumbangan trak berkenaan merupakan satu daripada inisiatif syarikat melalui tanggungjawab sosial korporat bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan vaksinasi penduduk di kawasan pedalaman.

“Sandakan dipilih untuk menerima trak ini kerana mengambil maklum jarak kawasan pedalaman dan kawasan ladang-ladang sawit yang sukar dilalui dan adanya trak ini, ia dapat memudahkan mereka seterusnya mempercepatkan capaian vaksinasi penduduk,” katanya. – Bernama