Lokasi buang sisa toksik: JAS Johor tunggu laporan penuh

in Edisi by

JOHOR BAHRU – Sebarang tindakan yang akan diambil Jabatan Alam Sekitar ( JAS) Johor berhubung empat negeri termasuk negeri ini yang didakwa menjadi tempat pembuangan sisa toksik secara haram perlu menunggu laporan penuh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, laporan penuh itu penting bagi pegawai dan anggotanya menjalankan siasatan lebih terperinci serta menyeluruh termasuk mengenal pasti lokasi sebenar kawasan berkenaan.

Menurutnya, JAS Johor masih menunggu laporan MYSA berhubung tapak yang dijadikan tempat buangan sisa toksik haram di negeri ini.

“Buat masa ini, kami belum dapat laporan daripada MYSA dan Ibu pejabat JAS di Putrajaya juga sedang menunggu laporan daripada agensi itu.

“Sekiranya laporan sudah diperoleh, JAS Johor akan terus memulakan siasatan secara terperinci di kawasan yang didakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai arah Selatan di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sebelum itu, media melaporkan Selangor, Johor, Pahang dan Perak dikenal pasti antara negeri yang mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram di negara ini.

Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MYSA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, yang tercemar dengan sisa kimia dan berbahaya tiga tahun lalu.