Perangai buang sampah merata-rata, mentaliti kelas ketiga

in Pojok by

SEJAK dua tahun lalu, aktiviti berkhemah semakin popular dalam kalangan rakyat di negara ini terutama bagi warga Lembah Klang.

Peningkatan itu kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai tidak dapat bercuti ke luar negara dan melakukan perjalanan rentas negeri serta daerah.

Berkhemah memang menyeronokkan kerana ia merupakan aktiviti yang sangat sesuai untuk dilakukan bersama keluarga.

Difahamkan, perniagaan yang berkaitan dengan aktiviti tersebut turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Malah, jumlah tapak-tapak perkhemahan juga semakin bertambah dan memaksa pengusaha sedia ada untuk menaiktaraf kemudahan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Merak Jalanan dengar cerita semua tapak-tapak perkemahan komersial dan awam yang ada di sekitar negeri Selangor dipenuhi dengan pengunjung pada setiap minggu.

Namun yang tidak enaknya, ada banyak aduan orang ramai tentang sikap segelintir pihak yang amat tidak peka dengan alam sekitar.

Perbuatan membuang sampah merata-rata dan membasuh pinggan di tepi sungai amat tidak bertanggungjawab dan menyakitkan hati.

Ini semua adalah sikap atau mentaliti rakyat kelas ketiga dan perlu diubah dengan segera. Pemikiran yang tidak cerdik seperti itu perlu dibuang dengan meletakkan kesedaran yang paling tinggi bahawa alam sekitar perlu dijaga dengan baik.

Merak Jalanan memang sokong orang ramai yang menegur secara terbuka di media-media sosial mengenai perbuatan buruk itu. Bagi golongan pencinta alam sejati dan sukakan kebersihan.Oleh yang demikian, kita meminta supaya semua pihak untuk mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menjaga alam sekitar kerana ia mencerminkan keperibadian kita yang sebenar.