Cadang kerajaan mulakan Undi18 dalam PRN12 Sarawak

in Politik by

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mencadangkan kerajaan memulakan pelaksanaan Undi18 dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) itu berkata, kebenaran kepada pengundi berusia 18 tahun mengundi sebagai menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung pelaksanaan Undi18.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

“Jadi sebelum 31 Disember tahun ini, seeloknya perintah ini dilaksanakan dalam PRN Sarawak.

“Kita mahu tahu adakah kerajaan betul-betul serius (untuk melaksanakan perintah itu) atau menganggap keputusan mahkamah ini tiada apa-apa?” katanya di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela Sabah (Pindaan) 2021.

Sejak minggu lalu, timbul desas-desus Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan dalam masa terdekat.

DUN Sarawak sepatutnya berakhir pada 6 Jun lalu tetapi PRN12 terpaksa ditangguhkan setelah Proklamasi Darurat di seluruh negara diisytiharkan kerana Covid-19.

Bagaimanapun, setelah darurat ditamatkan pada 1 Ogos lalu, Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang meneruskannya sehingga 2 Februari tahun depan.