Kena pecat pun dibayar juta-juta

in Pojok by

TANYA sesiapa sahaja peminat bola sepak di Malaysia, siapa yang tidak mahu menjadi pengurus bola sepak di Liga Perdana Inggeris (EPL)?

Jawapannya, sudah tentu semua nak.

Siapa yang tidak mahu dibayar gaji lumayan, malah jika dipecat pun dibayar pampasan berjumlah jutaan ringgit.

Kalau di Malaysia, individu yang dibayar pampasan jutaan ringgit sudah tentu tidak perlu pening kepala memikirkan waktu sukar sepanjang pandemik.

Tapi, menjadi pengurus kelab EPL perlu ada harga yang mahal terpaksa dibayar.

Selain caci maki peminat, pengurus di EPL juga perlu memikul beban yang berat demi memuaskan hati pemilik kelab.

Itulah yang terjadi kepada Steve Bruce selepas dipecat pengurusan Newcastle.

Bagi orang kebanyakan seperti Merak Jalanan, dibuang kerja bukan satu pilihan di kala negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Orang lain juga begitu, pasti emosi sedikit terganggu kerana perlu memikirkan masa depan diri dan keluarga.

Namun, Steve Bruce tersenyum lebar. Biarpun dipecat dia tetap dibayar RM46 juta!

Begitu juga halnya dengan pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.

Dikhabarkan, United terpaksa membayar Solksjaer sebanyak RM42.8 juta jika mahu memecatnya.

Bagi rakyat marhaen termasuk Merak Jalanan, menjadi pengurus EPL hanyalah angan-angan kosong yang sudah tentu tidak boleh direalisasikan.

Mandi bunga pun belum tentu jadi!

Begitu juga beberapa rakan-rakan media Merak Jalanan yang diberhentikan kerja tidak lama dulu, sehingga ke hari ini pemberian wang pampasan seperti dijanjikan masih belum direalisasikan.

Malah ada yang menunggu sehingga dua tahun, namun tuntutan pampasan tidak dipedulikan sehingga terpaksa melancarkan petisyen bagi mendesak agar hak mereka diberikan.