12,000 individu terima vaksin melalui klinik bergerak BSMM

in Koronavirus by

MARANG – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) telah memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 12,000 individu melalui inisiatif klinik bergerak di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah berkata, inisiatif tersebut yang merupakan sebahagian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah diadakan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan setakat ini.

“Pada Jumaat pula, kami ke Terengganu dan berpeluang menziarah seorang remaja terlantar dan warga emas yang menghadapi kekangan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Selepas ini program akan diteruskan ke Pahang untuk warga orang asli dan pedalaman serta ke Johor dan Pulau Pinang untuk pastikan tiada yang tercicir daripada mendapatkan vaksin terutama pesakit terlantar, orang kelainan upaya dan warga emas,” katanya.

Tunku Puteri Intan Safinaz berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah remaja terlantar, Muhammad Haris Mohd Hisham, 13, yang lumpuh seluruh badan di Kampung Kijing di sini pada Jumaat.

Tambahnya, golongan pekerja asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen turut diberi vaksinasi kerana mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang perlu mendapat perlindungan Covid-19.

“Kami tidak boleh menganggarkan berapa ramai lagi yang akan mendapat khidmat suntikan ini namun akan terus berusaha mencari mereka dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Haris, Suria Aziela Mansor, 34, berkata, keluarganya sangat berterima kasih terhadap keprihatinan Persatuan BSMM yang sudi meluangkan masa menziarah dan bertanyakan khabar anak sulungnya itu.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, semasa Muhammad Haris sihat, mereka sekeluarga menetap di kuarters Felcra di Besut kerana suaminya, Mohd Hisham Hussin, 36, bekerja di situ.

“Namun setelah kesihatan Muhammad Haris semakin merosot pada pertengahan 2018 akibat jangkitan kuman dalam darah, kami sekeluarga berpindah menumpang rumah ibu saya di Kampung Kijing kerana lebih mudah untuk menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan.

“Suami saya berhenti kerja Felcra dan kini hanya membuat kerja-kerja kampung untuk menampung perbelanjaan bulanan. Saya pula memang suri rumah sepenuh masa dan memberi tumpuan penjagaan kepada Muhammad Haris,” katanya.

Ditanya kos penjagaan Muhammad Haris pula, Suria Aziela berkata, perbelanjaan bulanan mencecah lebih RM2,000 termasuk kos ambulans untuk rawatan susulan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

“Muhammad Haris adalah seorang anak yang aktif dan ceria sejak kecil namun selepas menjalani tiga kali pembedahan pada tahun 2018, dia terus lumpuh dan sejak itu hanya terlantar di katil.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) iaitu bekalan susu dan lampin pakai buang serta wang tunai bulanan RM400 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya yang berharap anaknya dapat sembuh seperti sediakala secepat mungkin. -Bernama