Untung bersih Maxis suku ketiga susut kepada RM325 juta

in Bisnes by

KUALA LUMPUR – Maxis Bhd mencatatkan keuntungan bersih rendah sedikit kepada RM325 juta dalam suku ketiga yang berakhir 30 September 2021, daripada RM364 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil, bagaimanapun naik kepada RM2.26 bilion daripada RM2.21 bilion disumbang oleh hasil perkhidmatan yang tinggi sebanyak RM2.03 bilion susulan perniagaan pascabayar dan gentian yang lebih baik, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Hasil perkhidmatan pascabayar bagi suku ketiga 2021 meningkat kepada RM1.03 bilion, tetapi purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) turun 3.6 peratus tahun ke tahun kepada RM81 daripada RM84 sebulan.

Maxis berkata, penurunan ARPU itu disebabkan terutamanya kesan daripada peningkatan pelanggan yang mengguna pakai Hotlink Pascabayar nilai pertambahan.

Hasil perkhidmatan prabayar turun 4.5 peratus kepada RM685 juta pada suku ketiga 2021 dan ARPU rendah sedikit pada RM39 sebulan daripada RM40 pada suku ketiga 2020.

Bagi sambungan gentian, kumpulan menambah 88,000 langganan kepada 512,000.

Maxis memberitahu, kumpulan itu kekal berada dalam kedudukan kewangan yang baik dalam mengharungi krisis Covid-19.

“Lembaran imbangan kami kekal kukuh dan pembiayaan serta kecairan kami juga baik,” katanya. – Bernama