Kes sembuh atasi kes baharu Covid-19

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,715 kes sembuh daripada Covid-19 dilapor pada Sabtu, mengatasi angka harian kes baharu yang merekodkan 5,854 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih Covid-19 kini 2,368,634 manakala kumulatif kes baharu adalah sebanyak 2,466,663 kes.

“Daripada 5,854 kes harian dilapor hari ini, 79 kes atau 1.3 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 5,775 kes atau 98.7 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan perkembangan kes Covid-19 dalam negara pada Sabtu.

Menurut beliau, sebanyak 5,841 kes melibatkan penularan dalam negara manakala 13 kes adalah kes import.

Beliau turut memaklumkan terdapat 570 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 293 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak dua kluster baharu direkodkan hari ini yang masing-masing merupakan kluster tempat kerja dan kumpulan berisiko tinggi.

Selain itu, kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara adalah 0.95 dengan Negeri Sembilan mencatat kadar Rt tertinggi iaitu 1.04 diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mencatatkan 1.00 kadar kebolehjangkitan.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. -Bernama