Aguero dikejarkan ke hospital akibat sakit dada, pening

in Sukan by

TONGGAK serangan Barcelona Sergio Aguero dikejarkan hospital berikutan mengalami sakit dada selain mengadu berasa pening ketika beraksi berdepan Alaves, pada Sabtu.

Pada aksi La Liga yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 itu, Aguero telah digantikan oleh Philippe Coutinho.

Menurut kenyataan rasmi daripada skuad Blaugrana itu, penyerang kelahiran Argentina itu telah memberikan isyarat untuk ditukarkan pada pertengahan babak pertama dipercayai setelah bergelut menahan rasa sakit di bahagian dada.

“Aguero memberikan isyarat meminta ditukarkan pada separuh masa pertama dan kami membuat keputusan untuk menggantikannya dengan Philippe Coutinho.

“Kami difahamkan, Aguero mengadu dengan mengatakan dia mengalami sakit di bahagian dada selain berasa pening kepala ketika itu.

“Dia (Aguero), kemudiannya telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada perlawanan berkenaan, Barcelona membuka jaringan menerusi Memphis Depay pada minit ke-49 sebelum Luis Rioja menyamakan kedudukan pada minit ke-52 untuk memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati meraih satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Barca kini berada pada kedudukan kesembilan dengan meraih 16 mata manakala Alaves pada kedudukan ke-16 dengan 10 mata.

Sementara itu, caretaker Barcelona, Sergi Barjuan berharap agar keadaan yang melanda Aguero tidak serius dan pemain berusia 33 tahun itu kembali cergas dalam masa terdekat.

“Saya dimaklumkan, Aguero kini berada di hospital untuk menerima rawatan lanjut. Tidak banyak yang boleh saya perkatakan ketika ini.

“Cuma saya berharap agar dia (Aguero), segera pulih dan dapat menjalani latihan bersama pasukan,” katanya.