Lonjakan sektor PMKS menerusi digitalisasi perniagaan

in Bisnes by

[DIKEMASKINI] KERAJAAN mengambil pelbagai langkah proaktif sejak 2020 untuk melonjakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selain merancakkan semula pasaran domestik seiring dengan usaha memperkasakan agenda digitalisasi perniagaan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai bantuan juga disalurkan kepada PMKS menerusi lapan pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

Beliau berkata, antara bantuan itu ialah Geran Khas Prihatin, Skim Pembiayaan PKS, Kempen e-Dagang dan pinjaman mikro kredit khusus untuk membantu usahawan supaya dapat kekal berdaya saing dalam melakukan transformasi digital.

“Saya difahamkan dalam tempoh sebulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lepas, aktiviti perniagaan dalam talian telah meningkat 28.9 peratus.

“Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan transaksi e-dompet pada 2020 telah meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta transaksi,” katanya ketika merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan, Produk Smart Bio Sureco dan Buletin Yayasan Penggerak Wawasan di Melaka, pada Ahad.

Beliau berkata pandemik pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu telah memberi impak besar terhadap ekonomi negara terutama dari segi kelangsungan perniagaan.

“Namun dalam masa yang sama, ia juga telah mendorong peniaga dan usahawan tempatan menjadi lebih kreatif dan melakukan perubahan dengan beralih ke platform perniagaan dalam talian untuk melariskan jualan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, pada 19 Februari, 2021 kerajaan juga melancarkan inisiatif MyDigital, yang merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia iaitu satu pelan tindakan atau hala tuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global.

“Di bawah inisiatif MyDigital, kerajaan menetapkan sasaran untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia menerusi peningkatan literasi atau tahap celik digital yang akan memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.

“Ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam ekonomi digital, memudahkan urusan perbankan dan kewangan tanpa tunai, menyediakan akses pendidikan secara maya serta kemudahan perubatan sehingga ke pekan terpencil,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha merancakkan inovasi dan mewujudkan sebuah ekosistem digital yang berkesan, kerajaan dengan usaha sama swasta akan membina empat prasarana digital penting bagi memantapkan rangkaian kesambungan yang amat diperlukan dalam ekonomi digital.

Pada masa yang sama, usahawan juga diseru untuk sentiasa peka dan bijak merebut peluang yang muncul daripada teknologi dan model perniagaan bentuk baharu yang kini menguasai ekonomi dunia termasuk di Malaysia, katanya. – Bernama