Malaysia sah slot ke Piala Asia

in Sukan by

MALAYSIA mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) tahun hadapan, biarpun skuad B-22 negara sekadar terikat tanpa jaringan ketika berdepan Thailand di Stadium MFF, Ulaanbaatar, pada Ahad.

Skuad negara layak selaku juara Kumpulan J dengan meraih tujuh mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Laos pada 24 Oktober sebelum menewaskan tuan rumah, Mongolia, 1-0 pada 28 Oktober.

Skuad negara bermula garang sejak wisel permulaan dengan mengatur asakan bertali arus ke gawang dalam usaha mencari gol awal.

Bagaimanapun, jentera serangan skuad negara dilihat berdepan kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan Thailand.

Dalam masa sama, Thailand juga dilihat berjaya mengatur beberapa asakan ke pintu gol skuad negara, namun berjaya dikekang dengan baik oleh benteng pertahanan.

Malah, jentera tengah skuad negara dilihat berfungsi dengan baik bagi mendominasi bahagian tengah bagi menyekat asakan-asakan yang diatur kesebelasan Thailand.

Kedua-dua pasukan dilihat mula menggandakan asakan pada babak kedua dalam usaha memecah kebuntuan jaringan pada babak pertama.

Kesemua asakan berkenaan turut menyaksikan benteng pertahanan kedua-dua pasukan bekerja keras bagi mengekang kesemua askan yang diatur ke pintu gol masing-masing.

Peluang terbaik skuad negara untuk menjaringkan gol hadir pada minit ke-62, namun tandukan Harith Haiqal sekadar menggegarkan palang gol.

Dua puluh minit terakhir menyaksikan Thailand semakin hebat mengatur asakan ke pintu gol skuad negara bagi menjaringkan gol.

Minit ke-90, menyaksikan Thailand mendapat peluang keemas an untuk menjaringkan gol, namun rembatan berjaya diselamatkan Muhammad Azri Ghani.

Bagaimanapun, benteng skuad negara dilihat terus berdisiplin bagi mengekang asakan-asakan berkenaan bagi memastikan keputusan 0-0 kekal hingga ke wisel penamat.

THAILAND – Kiettipon Udom, Nakin Wisetchat, Anusak Jaiphet, Airfan Doloh (Chayathorn Tapsuvanavon), Jakkit Palapon, Korawch Tasa, Sakunchai Saengthopho, Thanawt Suengchitthawon (kapten), Jaturapat Sattham, Jonathan Khemdee, Benjamin James Davis (Teerasak Poeiphimai)

MALAYSIA – Muhammad Azri Ghani, Muhammad Azrin Afiq, Harith Haiqal Adam, Muhammad Azam Azmi (Quentin Cheng), Muhammad Mukhairi Ajmal (kapten), Nik Akif Syahiran, Ahmad Haraz Arman, Luqman Hakim Shamsuddin (Mohamad Hakimi Abdullah), Muhammad Hairiey Hakim, Muhammad Nur Azfar (Muhammad Umar Hakeem), Ahmad Zikri Khalili

PENGADIL – Sadullo Gulmurodi (Tajikistan)