MFL ambil perhatian serius isu di Hang Jebat

in Sukan by

PASUKAN Liga Malaysia (Liga-M) yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa sepanjang saingan Piala Malaysia, bakal dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MLF), Stuart Ramalingam berkata, pengendali Liga-M itu tidak akan berkompromi dalam isu ini sekiranya terdapat pelanggaran SOP di Stadium Hang Jebat seperti yang tular pada Sabtu.

Menurutnya, pemantauan di venue perlawanan akan mula diperketatkan oleh kakitangan MFL, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik kerajaan membenarkan kemasukan semula penyokong-penyokong ke stadium dalam kapasiti ditetapkan pihak berkuasa.

“MFL mengambil perhatian serius mengenai perkara berkaitan pematuhan SOP sepanjang saingan Liga Malaysia termasuk situasi yang tular di media sosial selepas perlawanan Melaka United menentang Kelantan United pada saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, 29 Oktober lalu.

“Setiap pasukan sebelum ini berulang kali diingatkan kepentingan mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“MFL telah pun menghubungi pihak kelab bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu yang tular tersebut dan perkara ini akan dibawa ke perhatian Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan lanjut,” ujar Stuart kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Sabtu, tular satu tangkap layar aktiviti menjamu selera di bilik VVIP di Stadium Hang Jebat pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia melibatkan Melaka United menentang Kelantan United.

Insiden itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap disiplin dalam kalangan kelab bertanding terhadap pematuhan SOP ditetapkan oleh MKN dan KKM selepas penyokong-penyokong pasukan Liga-M dibenarkan kembali ke stadium.

Untuk rekod, dalam SOP yang ditetapkan sebelum ini, makan dan minum merupakan antara perkara yang tidak dibenarkan di venue perlawanan.

Dalam pada itu, Presiden MFL, Datuk Abd Ghani Hassan telah berulang kali mengingatkan penyokong, pengurusan pasukan, barisan kejurulatihan dan pemain pasukan Liga-M supaya melaksanakan tahap pematuhan tinggi terhadap usaha memutuskan rantaian Covid-19 bagi mengelakkan insiden menimpa Negeri Sembilan FC berulang kembali.

Ekoran daripada itu, Ahli Lembaga Pengarah Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Saperi mengesahkan, pihaknya telah pun dihubungi MFL berhubung perkara berkenaan pada Sabtu.

Sehubungan itu, pihaknya juga telah memberikan maklum balas dan kini sedang menunggu tindakan susulan daripada MFL.

“Kita ambil maklum mengenai perkara ini dan kita akan pastikan tidak ada lagi apa-apa yang disediakan di bilik VVIP pada masa depan,” katanya.