PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

November 2021

Malaysia terus berwaspada ancaman varian Omicron

in Analisis Sinar by
Malaysia terus berwaspada ancaman varian Omicron

MALAYSIA mengambil pendekatan untuk terus berwaspada dengan penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang ditemui di Afrika Selatan baru-baru ini.

Pada Selasa, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi mandat untuk menentukan sekatan keluar dan masuk sempadan negara.

Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 (SOP) memutuskan KKM turut diberi mandat untuk menetapkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara tersebut.

Hishammuddin berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan dalam mempertingkat langkah pencegahan dan kawalan sempadan termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara susulan penularan varian Omicron tersebut.

Ujarnya, ia juga merupakan satu petunjuk yang baik kerana negara berada di landasan yang sentiasa mengikuti perkembangan berhubung kait penularan Covid-19 ketika ini.

Sementara itu, Hishammuddin turut menjelaskan, pendirian Malaysia untuk mengenakan larangan perjalanan ke Afrika Selatan bukan dibuat bersandarkan geopolitik atau hubungan dua hala, sebaliknya berasaskan kepada risiko keselamatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini merujuk strain baharu Covid-19 itu sebagai B.1.1.529, atau Varian of Concern (VOC) mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi spike protein, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India.

Pada Selasa, KKM turut menafikan dakwaan bahawa varian Omicron dikesan di Perak.

KKM meminta agar mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan penyebaran maklumat daripada sumber tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Kemunculan varian baharu itu meletakkan bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh dunia dalam situasi berjaga-jaga.

Memoir Ibn Said: Catatan penting hamba Afrika

in Analisis Sinar by
Memoir Ibn Said: Catatan penting hamba Afrika

GERAKAN Black Lives Matter (BLM) yang menarik semula perhatian antarabangsa selepas pembunuhan George Floyd tahun lalu, mengingatkan dunia bahawa perjuangan memartabatkan bangsa Afrika-Amerika masih belum selesai.

Siapa tidak tersentap melihat video tular seorang anggota polis kulit putih menghimpit dengan lutut leher Floyd sehingga dia yang tertiarap mati sesak nafas.

Menurut kajian 2019 Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS), dalam hayat mereka, seorang daripada 1,000 lelaki Afrika-Amerika menjangkakan mereka akan dibunuh oleh polis. Justeru, adakah semata-mata kerana berkulit hitam mereka dianggap tidak setaraf dengan yang kulit lebih cerah?

Kebanyakan yang diculik dari benua Afrika bukanlah calang-calang orang. Buktinya ada di perpustakaan Kongres Amerika Syarikat (AS) dalam sebuah buku ditulis seorang cendekiawan dari Senegal yang diculik dan dipaksa menjadi hamba di AS lebih 200 tahun lalu.

Nama Omar Ibn Said mungkin begitu asing di Malaysia. Namun, karya ditulisnya telah membuka kisah hidup hamba dari Afrika Barat yang kemudian menjadi perhatian pengkaji sejarah AS masa kini.

Uniknya, ia bukan dalam bahasa Inggeris tetapi ditulis dalam bahasa Arab. Pada 1807, dia telah diculik dan dijual sebagai hamba abdi. Yang mereka tidak tahu, dia daripada keluarga kaya dan cendekiawan Islam terkenal di negara asalnya.

Berasal dari wilayah Futa Tooro, dia telah dibawa ke pulau Saint-Louis – pusat transit utama bagi pemerdagangan hamba abdi di Afrika barat sebelum dihantar ke AS dan kepulauan Caribbean.

Kisah Ibn Said menjadi salah satu catatan penting sejarah penghambaan Afrika-Amerika. Sebelum diculik, dia merupakan tokoh ilmuwan Islam yang menghabiskan lebih dua dekad masanya mempelajari dan menghafal al-Quran dan pelbagai jenis cabang ilmu.

Memoir 15 halaman tulisan tangan itu telah mencabar naratif penghambaan Afrika. Biografinya dimulakan dengan penulisan ayat al- Quran seperti surah Al-Mulk yang mengandungi ayat-ayat menceritakan tentang penguasaan, kedaulatan dan pemilikan. Mesej disampaikan dia adalah menyeluruh bahawa hanya ALLAH memiliki hamba-Nya.

Para pengkaji sejarah percaya gaya penulisan Ibn Said adalah mesej cuba disampaikan kepada tuannya. Tulisan itu turut mengisahkan bagaimana dia telah dijual kepada tuan pertama dikenali sebagai Johnson – seorang yang bengis dan jahat.

Ibn Said akhirnya berjaya melarikan diri ke Fayetteville, North Carolina tetapi malangnya ditangkap dan dijual semula. Pemilik keduanya – James Owen amat berbeza melayannya.

Ahli sejarah yang mengkaji memoir Ibn Said berpendapat bahawa dia menghabiskan baki umurnya bersama keluarga itu. Walaupun ada berpendapat Ibn Said telah memeluk agama Kristian pada 1820, ramai sarjana moden percaya dia berterusan mengamalkan ajaran Islam.

Berdasarkan kajian yang dibuat, dia masih memulakan penulisannya dengan selawat kepada Nabi Muhammad SAW yang ditulis dalam Injilnya dan sekeping kad bertarikh 1857 yang mengandungi tulisan Surah Al Nasr, sehingga ada yang beranggapan ia adalah doa dengan menyifatkannya sebagai seorang penganut Kristian yang baik.

Menurut Pakar Sejarah Diaspora Afrika dari Universiti Brown, AS, Dr Sylviane Diuof, kebanyakan hamba ketika itu ramai berpindah agama secara pseudo-conversion.

“Mereka berpindah agama dan secara luaran tetapi hakikatnya mereka masih kekal mengamalkan ajaran Islam,” katanya.

Dalam beberapa catatan lain, Ibn Said masih kerap menulis selawat kepada Nabi Muhammad SAW, menyebut Nabi Isa sebagai Al Masih dan penghulu kami ‘Sayyidina’ kata hormat Islam terhadap para rasul dan tidak dikelirukan dengan Tuhan ‘Rab’ dalam penulisannya.

Ibn Said telah meninggal dunia pada 1864 dan kisah hidupnya menjadi terkenal 150 tahun kemudian apabila memoirnya diletakkan di US Library of Congress pada 2017.

Pada 1991, sebuah masjid di Fayetteville, Utara Carolina dinamakan semula sebagai Masjid Omar Ibn Said. Memoir Ibnu Said adalah dokumentasi terpenting dalam sejarah hamba abdi di AS.

Ia sebahagian catatan kisah rakyat berkulit hitam yang berkurun lamanya dinafikan hak sebagai manusia di negara yang selama ini mendakwa didirikan atas kesaksamaan hak asasi manusia dan demokrasi.

* Yusuff Hassan ialah Penerbit Digital Sinar Harian

Kartel di Bukit Aman: Penting untuk rakyat tahu perkara sebenar

in Pojok by

BARU-baru ini Merak Jalanan tarik nafas lega bila baca kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kata Hamzah, lepas beberapa siasatan dalaman diadakan, beliau mengesahkan tiada sebarang gerakan kartel dalam pasukan Sang Saka Biru.

Hamzah mendedahkan siasatan tersebut di Parlimen, malah pada sidang media beberapa hari lalu, beliau turut mengakui siasatan kini diteruskan pula oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Kata Hamzah, SIAP menyambung siasatan kerana beliau sendiri rasa belum berpuas hati hanya dengan siasatan dalaman.

Merak Jalanan pujilah dengan kesungguhan Pak Menteri yang terus menerus menjalankan siasatan isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iyalah, rakyat di luar memerhati dan meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan-pasukan penguasa berkenaan.

Tidak kiralah PDRM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seboleh-bolehnya pasukan itu bebas daripada penyelewengan dan rasuah, apatah lagi gerakan kartel.

Justeru, Hamzah dan SIAP kenalah siasat dakwaan kartel berkenaan sampailah ke lubang cacing.

Ini kerana yang buat pendedahan dan dakwaan itu bukanlah calang-calang orang. Bukan hanya sekadar ciapan di Twitter tanpa penama macam EDISI Siasat.

Sebaliknya yang dakwa itu adalah bekas orang nombor satu PDRM, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang buat pendedahan pada hari-hari terakhir beliau bertugas April lalu.

Tetapi Merak Jalanan tertunggu juga keputusan akhir siasatan kartel ini sebab rakyat perlu tahu duduk perkara sebenar – baik atau buruk.

Rakyat Malaysia waspada ancaman Omicron

in Lidah Pengarang by

HANYA sebulan sahaja lagi kita bakal meninggalkan tahun 2021.

Jika tahun 2020 boleh dianggap tahun yang mengejutkan dek ledakan pandemik Covid-19, rupanya tahun ini impak petaka Covid-19 lebih dahsyat.

Jika tahun lalu, jumlah kematian akibat Covid-19 cuma 471 orang, tahun 2021 pula angka tersebut mencecah seramai 30,371 orang (setakat 29 November).

Bayangkan, ia merupakan penambahan hampir 30,000 orang atau lebih 64 kali ganda untuk tahun ini. Lebih menakutkan penangan Covid-19 turut mendapat impak oleh varian SARS-CoV-2 baharu yang bermutasi.

Antara varian Covid-19 yang paling membimbangkan sejak awal tahun lalu ialah Delta yang digelar oleh saintis sebagai kuasa besar.

Ini kerana ia boleh menyebabkan jangkitan sehingga dua kali ganda lebih cepat daripada varian biasa.

Dengan kebanyakan rakyat Malaysia dan dunia telah melengkapkan dua dos suntikan Covid-19, kebimbangan terhadap ancaman Delta sedikit menurun.

Namun, sejak beberapa hari lalu tiba-tiba dunia dikejutkan dengan varian baharu SARS-CoV-2 yang lebih dahsyat dipanggil Omicron.

Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam satu mesyuarat tergempar secara maya, Kumpulan Penasihat Teknikal Terhadap Evolusi Virus SARS-CoV-2 mengisytiharkan Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

Omicron yang mula dikesan di Afrika Selatan telah dirujuk oleh pakar adalah lebih berbahaya daripada Delta.

Kebimbangan terhadap Omicron menyebabkan banyak negara telah mengambil langkah drastik dengan menutup pintu kepada pengembara dari beberapa negara Afrika.

Di Malaysia, walaupun setakat ini tiada kes positif melibatkan Omicron, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)mengakui varian berkenaan semakin menghampiri Malaysia.

Walaupun boleh dikatakan rata-rata rakyat Malaysia hari ini hidup semakin bebas apabila banyak SOP telah dilonggarkan, namun ternyata kita harus tetap waspada.

Jika kita alpa, tidak mustahil 2022 kita mungkin menderita angkara Omicron.

[SHORTS] Kerana sikap, nyawa melayang

in Video Shorts by

[SHORTS] Kerana sikap, nyawa melayang

WACANA SINAR 307, 30 NOVEMBER 2021

Berikut merupakan petikan Wacana Sinar Siri 307 bertajuk `Jalan raya bukan destinasi terakhir` bersama Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Selangor, Tuan Mohamad Hafiz Usman.

UNTUK VIDEO PENUH SILA LAYARI:

https://fb.watch/9BW67P-rtb/

Muzik: www.bensound.com

#SinarHarian #WacanaSinar #SinarUntukMalaysia

Amalkan budaya letak jawatan secara terhormat

in Pojok by

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka telah berakhir. UMNO mencapai kemenangan besar meraih 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Perikatan Nasional (PN) dan DAP terpaksa akur dengan pilihan pengundi Melaka. Lanjutan kekalahan itu, dua pemimpin utama, masing-masing daripada PN dan DAP mengumumkan untuk meletak jawatan dalam parti.

Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew menerima kelemahan diri, sekali gus bertanggungjawab atas kekalahan parti.

Baguslah apa yang dilakukan Mohd Rafiq dan Kok Kiew. Itu budaya yang perlu dicontohi pemimpin politik tanah air. Jarang sekali kita melihat sikap pemimpin yang sanggup mengundur diri setelah gagal memenangi pilihan raya.

Bagaimana pula dengan sektor-sektor lain seperti dalam dunia korporat? Adakah pengerusi syarikat sedia meletak jawatan secara sukarela sekiranya syarikat mengalami kerugian teruk?

Begitu juga kementerian dan jabatan kerajaan. Di Malaysia, memang sukar melihat menteri sanggup pikul tanggungjawab sekiranya berlaku penyelewengan kuasa atau rasuah dalam kementeriannya, apatah lagi nak lepaskan jawatan menteri yang bergaji puluhan ribu sebulan.

Kita patut puji jiwa besar yang ditunjukkan pembesar-pembesar negara lain seperti Jepun. Bila terbongkar sahaja kepincangan dalam kerajaan mereka, orang pertama meletak jawatan ialah perdana menterinya, kadang-kadang seluruh jemaah menteri kabinet pun ikut angkat kaki.

Tidak kiralah dalam sektor awam atau swasta, budaya melepaskan jawatan untuk mengambil tanggungjawab bagi kesalahan peribadi atau kegagalan organisasi perlu menjadi amalan.

Berundur secara terhormat adalah tingkah laku mulia. Peliknya, masih ada segelintir pemimpin degil tidak mahu turun. Ada yang songlap wang, ada pula terbabit skandal seks tapi mereka rasa macam tidak bersalah.

Bencana banjir: Jangan leka, teruslah waspada

in Analisis Sinar by

SEHINGGA hari ini Kelantan masih terselamat daripada bencana banjir. Bahkan situasi ‘tenang’ itu turut sama dirasai di Pahang dan Terengganu yang tetap menerima taburan hujan, namun masih ‘baik-baik’ sahaja.

Tempohnya sudah agak terlewat dan amat berbeza dengan kebiasaan yang dihadapi negeri-negeri di Pantai Timur. Banjir pada musim tengkujuh seolah-olah berganjak daripada waktu kebiasaannya iaitu pada Oktober dan November.

Mengimbau sejarah terburuk bencana banjir pada 2014 adalah peristiwa yang tidak dapat penulis lupakan kerana perasaan teramat takut menyelubungi diri melihat Kelantan ditenggelami banjir luar biasa. Pada jam 9 malam, 24 Disember 2014, penulis keluar memandu kereta meninjau air sungai di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

Sungai Kelantan melebar lebih 10 kali ganda daripada saiz biasa. Limpahan air mencecah pengadang jambatan dengan kedalaman lebih 30 meter daripada paras biasa.

Penulis berdiri di tepi pengadang jambatan dan dapat melihat dengan jelas kayu balak, harta benda penduduk seperti almari dan bangkai binatang bercampur dengan sampah-sarap yang dihanyutkan arus.

Tiba-tiba berasa gegaran di tempat penulis berdiri dan kali kedua gegaran lebih kuat sehingga penulis terhoyong-hayang sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta-merta mengarahkan jambatan berkenaan dikosongkan dan ditutup untuk semua kenderaan.

Ketika itu rata-rata tanah menggelongsor dan runtuh, manakala air Sungai Kelantan pula melimpah hingga menenggelamkan bandar dan penempatan penduduk.

Bersebelah rumah mentua penulis di Lemal, Pasir Mas, terbentuk laluan seperti sungai deras mengalir menenggelamkan kediaman.

Ketika menghantar bantuan kilat daripada Sinar Harian kepada mangsa banjir ketika itu, penulis terserempak dengan sekumpulan penduduk dari Kampung Som, Dabong, Jeli yang berteduh di sebuah khemah kecil dalam gelap-gelita di tepi jalan raya. Sistem perhubungan dan komunikasi, bekalan elektrik, petrol dan diesel serta bekalan makanan terputus. Ngeri!

Tahun ini Kelantan dijangka tidak berdepan banjir besar. Jangkaan dibuat berdasarkan pengiraan kadar taburan hujan setakat ini yang sudah mencatat sebanyak 1,825 mililiter (mm) atau 68 peratus daripada jumlah purata hujan tahunan berjumlah 2,700 mm. Maksudnya, baki taburan hujan tinggal 875 mm atau 32 peratus sahaja lagi.

Jika tepat ramalan itu, maka amatlah melegakan hati rakyat terutama mereka yang menetap di kawasan-kawasan lembah.

Pun begitu, wajar diingatkan agar orang ramai tidak terlalu leka dan teruslah aktifkan mood waspada kerana kuasa ALLAH SWT itu mengatasi segala jangkaan manusia.

Satu perkara yang teramat penting, adalah menjadi kewajipan kita menjaga kebersihan, menguruskan sisa sampah dengan betul bagi mengelak longkang tersumbat dan sungai tersekat dengan longgokan bahan buangan, sekali gus melancarkan aliran air. Sekurang-kurangnya kita dapat mengelak kejadian banjir kilat dan memastikan ekosistem alam terus lestari.

Salah satu ‘pencabulan’ terhadap alam sekitar yang jarang dibangkitkan adalah pencerobohan di tanah rizab di tebing-tebing sungai yang pastinya akan menimbulkan pelbagai masalah dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

Perbuatan itu bukan sahaja mengganggu kerja-kerja pembinaan benteng sekiranya ada keperluan berbuat demikian bagi menghalang limpahan air sungai, malah pasti mengundang kecelakaan hingga mengancam nyawa jiwa berlaku mendapan, geseran atau runtuhan.

Tahun ini dua kejadian tebing sungai runtuh berlaku di Kelantan dan memusnahkan banyak rumah penduduk di tebing sungai tetapi mujurlah tidak meragut nyawa.

Kejadian itu bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah di seluruh negara seperti kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika lawatan kerjanya di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas pada Ahad.

Saranan Tuan Ibrahim supaya rizab sungai tidak dicerobohi perlu dipandang serius agar ekosistem terjaga dengan baik dan dapat melancarkan fungsinya mengalirkan air, seterusnya diharap dapat membantu mengurangkan peratusan sesebuah lokasi itu ditenggelami air.

Sama-samalah kita berusaha menjaga dunia ini.

* Adila Sharinni Wahid ialah Wartawan Sinar Harian Kelantan

Sempadan Malaysia-Singapura kembali rancak

in Lidah Pengarang by

LALUAN Perjalanan Vaksin (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura yang ditunggu-tunggu akhirnya dibuka bermula Isnin.

Pembukaan tersebut serentak dengan pelancaran VTL udara yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Keputusan membuka sempadan udara dan darat oleh kerajaan Malaysia dan Singapura amatlah dialu-alukan. Dengan sempadan kedua-dua negara mulai dibuka berperingkat, ia tentu membawa khabar berita menggembirakan khususnya ahli keluarga yang lama terpisah akibat pandemik Covid-19.

Kegiatan ekonomi di Johor Bahru pastinya akan kembali rancak setelah berada dalam keadaan tenat sejak 20 bulan lalu. Tidak dinafikan, banyak sektor perniagaan seperti perhotelan, pelancongan dan restoran di Johor bergantung dengan kedatangan pelancong dari Singapura.

Begitu juga warga tempatan yang sebelum ini berulang-alik setiap hari mencari rezeki di Singapura. Dengan terbukanya sempadan darat, ia sudah memadai bagi mereka melepaskan rindu untuk pulang ke Malaysia.

Buat permulaan, VTL darat hanya dihadkan kepada pengangkutan bas. Melalui penggunaan pengangkutan berkenaan, kedua-dua negara menetapkan kuota harian pengembara adalah tidak melebihi 1,500 orang.

Selain itu, pengembara yang dibenarkan menggunakan VTL darat adalah terhad kepada warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun, penguatkuasaan ketat masih dilakukan dengan hanya membenarkan pengembara yang layak tertakluk kepada ujian Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

Sehingga kini Malaysia dan Singapura sudah mencapai lebih 95 peratus kadar populasi dewasa yang divaksin. Walaupun jumlah kes Covid-19 di Malaysia dan Singapura ketika ini agak stabil, namun langkah-langkah pengawasan dan pencegahan perlu diutamakan.

Sejak akhir-akhir ini Malaysia dan Singapura telah mencatatkan peningkatan kes Covid-19. Itulah yang perlu menjadi kebimbangan ketika ramai rakyat kedua-dua negara ghairah melakukan lawatan.

1 2 3 73
Kembali UTAMA