40,091 pesalah selesai jalani Pelepasan Secara Perintah Parol

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Seramai 40,091 pesalah daripada 74,000 yang mengikuti program pemulihan di luar penjara selesai menjalani Pelepasan Secara Perintah Parol sejak ia mula dilaksanakan pada 2008.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, program itu dilaksanakan melalui Sistem Parol, Program Reintegrasi Penghuni, Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRP), Program Corporate Smart Internship untuk Orang Diparol (ODP), Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan Perintah Kehadiran Wajib (PKW).

“Berdasarkan statistik, sejak 2010 dilaksanakan seramai 6,550 pesalah telah menjalani PKW, manakala kerjasama bersama Angkatan Tentera Malaysia melalui PRP telah merekodkan jumlah penyertaan seramai 17,663 Orang Diselia sejak ia dilaksanakan pada 2011,” katanya semasa berucap sempena Majlis Sambutan Hari Penjara ke-231 pada Isnin.

Beliau berkata, kementerian itu juga memperluas PBSL untuk kategori banduan tempoh hukuman di bawah satu tahun, banduan yang sakit kronik, banduan warga emas dan banduan yang mencapai tahap pemulihan yang cemerlang.

“Program yang diperkenalkan ini dilihat mampu mengembangkan pelaksanaan pemulihan dalam komuniti apabila peratus kejayaan program ini adalah 97.74 peratus daripada jumlah pelepasan 2,303 Orang Bebas Berlesen,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah kesesakan dalam penjara, Hamzah berkata ia bukanlah masalah baharu dan beberapa langkah drastik dilaksanakan bermula tahun lepas bagi menangani perkara itu.

“Alhamdulillah, kini inisiatif KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Jabatan Penjara sejak tahun lepas mula menampakkan tanda-tanda kejayaan…masalah kesesakan dalam penjara dapat dikurangkan,” katanya.

Hamzah berkata, pada Mac 2020 terdapat 19,860 lebihan tahanan direkodkan di seluruh negara dan bilangan itu berjaya dikurangkan kepada 7,803 lebihan tahanan iaitu pengurangan sebanyak 60.7 peratus.

Selain itu, beliau berkata, KDN melalui Jabatan Penjara menyediakan satu pelan holistik jangka panjang bagi merealisasikan agenda transformasi penjara atau pun dikenali sebagai prison reform.

“Agenda transformasi ini melibatkan lima teras utama iaitu kawalan keselamatan, rawatan dan layanan, pemulihan, reintegrasi serta probation dan community correction secara berterusan.

“Teras utama transformasi penjara diperkukuhkan lagi dengan empat pemangkin iaitu pemerkasaan sumber manusia, fasiliti, perundangan dan kolaborasi pintar,” katanya.

Hamzah berkata, kementerian komited untuk memastikan transformasi itu menjadi dasar utama dalam Pelan Strategik dan Pelan Induk Jabatan Penjara yang akan direalisasikan bersama dalam tempoh 10 tahun. – Bernama