Bursa Malaysia akhiri sesi urus niaga pagi teramat rendah

in Bisnes by

BURSA Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi teramat rendah dengan tekanan jualan dilihat di keseluruhan pasaran.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 32.96 mata kepada 1,529.35 atau 2.11 peratus daripada 1,562.31 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Indeks utama yang dibuka 16.32 mata lebih rendah pada 1,545.87, bergerak antara 1,527.73 dan 1,545.99 di sepanjang sesi dagangan pagi.

Di pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi untung 963 berbalas 156 manakala 280 kaunter tidak berubah, 875 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 2.22 bilion unit bernilai RM1.86 bilion.

Seorang peniaga berkata Bursa Malaysia kekal dalam zon negatif sejak pasaran dibuka pagi ini walaupun penutupan yang lebih kukuh di Wall Street pada Jumaat lepas, kerana cadangan Cukai Makmur sekali sahaja dalam Bajet 2022 mendapat penerimaan yang kurang baik dan telah menjejaskan sentimen pasaran.

Prestasi bursa tempatan mengetepikan trend dalam kalangan bursa serantau yang kebanyakannya lebih tinggi, mengambil petunjuk daripada kenaikan di Wall Street dan keputusan pilihan raya Jepun serta pada masa yang sama pelabur terus meneliti Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China untuk Oktober.

Sementara itu, PMI pembuatan IHS Markit Malaysia melonjak kepada 52.2 pada Oktober daripada 48.1 pada bulan sebelumnya, menandakan pengembangan paling kukuh dalam kesihatan sektor pembuatan negara sejak April tahun ini.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 2.35 peratus kepada 29,572.66, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.83 peratus kepada 3,224.69 dan Kospi Korea Selatan meningkat 0.53 peratus kepada 2,986.47 peratus, tetapi Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.10 peratus kepada 25,098.87.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM7.99, Public Bank turun 13 sen kepada RM4.04, Petronas Chemicals kerugian 39 sen kepada RM8.30, IHH Healthcare merosot 10 sen pada RM6.44, dan Tenaga lebih rendah lima sen pada RM9.61.

Bagi saham aktif, AirAsia X turun dua sen kepada 7.5 sen dan MMAG, Dagang NeXchange dan Ta Win susut setengah sen setiap satu kepada 10 sen, 77.5 sen dan 15 sen, manakala Hextar Industries menambah dua sen kepada 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 233.05 mata kepada 11,325.95, Indeks FBMT 100 jatuh 232.72 mata kepada 10,956.37, FBM 70 merosot 305.01 mata kepada 14,997.36, Indeks FBM Emas Syariah kerugian 224.91 mata kepada 12,366.68 dan FBM ACE berkurangan 87.61 mata kepada 7,008.56.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.95 mata kepada 201.84, Indeks Perladangan turun 77.80 mata kepada 6,711.02, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 439.63 mata kepada 15,149.58. – Bernama