PJS teliti dulu cadangan empat ahli PSM

in Sukan by

PESURUHJAYA Sukan (PJS) akan meneliti permohonan penubuhan sebuah entiti baharu Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dicadangkan empat ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) baru-baru ini.

Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya akan melihat dari pelbagai sudut permohonan dibuat Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP), dan Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) berserta Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) yang masih dalam penggantungan badan induk itu.

“PJS telah terima permohonan bagi penubuhan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), kita akan teliti kesesuaian permohonan ini. Sebagaimana kita sedia maklum, hasrat asal persetujuan bersama adalah memulihkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengambil kira legasi yang disumbangkan oleh PSM.

“Pemulihan ini melibatkan beberapa tindakan remedi yang dipersetujui bersama antara PSM dan G11 pada ketika itu. Dengan persetujuan pemulihan PSM, secara tidak langsung penubuhan entiti kedua tidak diteruskan.

“Peranan PJS adalah membantu supaya usaha pemulihan PSM dapat direalisasikan, kehadiran semula lapan gabungan bersama PSM mencerminkan langkah positif dalam membina semula PSM, dan kesepakatan ini juga mendorong hala tuju baharu. Adalah lebih baik, jika semua gabungan termasuk Selangor, Putrajaya dan Sarawak kembali semula bersama-sama mengukuhkan PSM,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Mengenai notis peguam meminta penangguhan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PSM yang dihantar oleh Selangor, Putrajaya dan Sarawak sebelum ini, Ibrahim berkata, sebelum ini PSM telah pun memutuskan untuk menolak penarikan diri G11 yang turut disertai tiga negeri tersebut sebagai ahli gabungan PSM.

“PSM telah menjemput semua ahli gabungan untuk kembali bersama PSM sebagai persediaan dan penglibatan dalam EGM, seterusnya AGM (mesyuarat agung tahunan), bagaimanapun ia tertakluk kepada keputusan persatuan negeri masing-masing atau ahli gabungan G11.

“Lapan ahli gabungan telah kembali bersama PSM kecuali Selangor, Putrajaya dan Sarawak. Disebabkan lapan ahli gabungan telah setuju kembali bersama PSM, mereka dijemput hadir dalam mesyuarat khas PSM untuk membincangkan usul EGM.

“Urusan EGM di bawah tadbir urus PSM, oleh itu PSM sendiri merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk tentukan sama ada perlu tangguh atau teruskan. Sebagai badan sukan yang sah, PJS menghormati pendirian PSM,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perubahan pengundian dari angkat tangan kepada undi sulit, Ibrahim berkata, PJS menyambut baik pendekatan baharu yang diambil badan induk sepak takraw tersebut.

“PJS mengalu-alukan keputusan EGM PSM mengubah kaedah pemilihan daripada angkat tangan kepada undi sulit.

“Ini juga sebenarnya adalah sebahagian daripada pindaan-pindaan yang dipersetujui secara bersama semasa rundingan pelan remedi antara G11 & PSM sebelum ini,” katanya.

Mengenai kebaikan dan keburukan kaedah itu, Ibrahim berkata, penggunaan kaedah pemilihan sama ada secara undi angkat tangan atau secara sulit mempunyai baik dan buruknya.

“Implikasi proses kedua-duanya sebenarnya bergantung kepada tahap profesionalisme sesebuah pertubuhan sukan itu, jika semua ahli masing-masing berjiwa besar boleh menerima sebarang keputusan pemilihan dengan berlapang dada, ikhlas sama ada menang atau kalah, ia mencerminkan kepimpinan sesebuah pertubuhan sukan itu mempunyai tahap ketelusan atau profesional yang tinggi, maka bolehlah menggunakan kaedah angkat tangan.

“Namun, jika dikhuatiri kemungkinan menjejaskan keharmonian, kesepakatan atau hubungan dalam kalangan ahli gabungan selepas pengundian, adalah sebaiknya tidak menggunakan kaedah pengundian secara angkat tangan,” katanya.

Sekiranya terdapat dalam kalangan persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang masih mengenakan pendekatan pengundian secara angkat tangan, Ibrahim menasihati NSA untuk menilai hubungan dalam kalangan ahli gabungan sebelum mengubah kepada kaedah undi sulit.

“NSA perlu melihat dan menilai hubungan dalaman mereka sendiri, dan tentukan kaedah yang terbaik sama ada mereka bersedia untuk mengubah kaedah pemilihan secara undi sulit atau mengekalkan kaedah angkat tangan,” ujarnya.