PM nasihati patuh SOP Deepavali

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu menasihati Keluarga Malaysia yang bakal menyambut Deepavali pada Khamis ini supaya terus patuh prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, dalam kemeriahan menyambut perayaan itu mereka perlu terus berhati-hati dan menjaga kesihatan.

“Kepada seluruh masyarakat kaum Hindu di seluruh negara, saya ucapkan selamat menyambut Hari Deepavali,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat tinjauan di Little India, di sini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mengulas mengenai lawatannya, Ismail Sabri berkata rata-rata peniaga ditemui berpuas hati kerana mereka dapat kembali berniaga seperti sedia kala.

“Saya difahamkan apabila kita buka peluang untuk mereka berniaga, sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan.

“Orang ramai pula ketika ditanya, mereka gembira kerana ada peluang untuk beli-belah,” katanya.

Dalam tinjauan kira-kira satu jam itu juga, beliau sempat membeli-belah pakaian sempena perayaan itu. – Bernama