Pusat kecemerlangan sukan dron bantu lahir lebih ramai juruterbang

in Sukan by

PERSATUAN Lumba Dron Malaysia (DRAM) berharap cadangan pembinaan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron akan melahirkan lebih ramai juruterbang lumba dron sekali gus menjanjikan masa depan yang lebih cerah buat sukan itu di Malaysia.

Presiden DRAM, Mohd Fitri Reza berkata, dengan adanya venue khusus untuk perlumbaan dron, ia akan membantu penggiat sukan itu untuk menganjurkan lebih banyak acara dan menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat untuk menceburi sukan mengujakan itu.

“Untuk mendapatkan tempat berlumba menjadi satu cabaran besar buat kami sebelum ini. Biasanya kami akan mencari tempat terpencil, siapkan trek dan berlatih bersama ahli kumpulan, selain menganjurkan acara antarabangsa melibatkan negara jiran.

“Ini juga akan membantu juruterbang kami untuk lebih bersedia dalam menghadapi acara-acara antarabangsa dan serantau seperti Kejohanan Perlumbaan Dron Dunia. Kita mempunyai beberapa pelumba yang bagus yang telah menyertai beberapa acara antarabangsa sebelum ini, tetapi disebabkan kurangnya persediaan dan kru, mereka tidak dapat menyerlah,” katanya.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, Jumaat lepas, mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

Menurut Mohd Fitri, aktiviti sukan lumba dron di tanah air berjalan rancak sebelum ini, namun terpaksa diberhentikan sementara susulan pandemik Covid-19 pada awal 2020.

Katanya, selepas kejayaan menganjurkan perlumbaan demonstrasi di Zon Pembangunan Dron, Technology Park Malaysia (TPM) pada 16 Okt lepas, persatuan itu merancang untuk mengadakan acara bulanan selepas ini.

Katanya, meskipun Malaysia mempunyai hampir 200 juruterbang lumba dron, namun kurang daripada 50 orang terlibat secara aktif dalam perlumbaan, manakala sebahagiannya menjadikan pertandingan dron sebagai batu loncatan untuk menceburi bidang fotografi dan videografi dron, yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan.

Bagaimanapun Mohd Fitri yakin dengan adanya trek kekal berserta kemudahan yang baik dan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), DRAM mampu menarik lebih ramai pelumba dan membantu mereka untuk berkongsi kemahiran dengan lebih ramai orang.

“Kami telah mencadangkan idea untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron kepada Kementerian Kewangan pada Mei lepas. Kami adalah satu-satunya persatuan perlumbaan dron kebangsaan di negara ini.

“Kami juga berharap dapat terlibat dalam penubuhan pusat itu kerana kami tahu bagaimana untuk membangunkan bakat-bakat baharu,” katanya.

Menurut Mohd Fitri, sebanyak RM1,500 diperlukan untuk membina dron perlumbaan kendiri, yang dilengkapi sistem Flying First Person View (FPV) (sudut pandang orang pertama), namun kos bagi membina dron perlumbaan profesional boleh meningkat antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Juruterbang akan memakai gogal FPV ketika mengawal dron tersebut, jadi mereka akan berasa seperti duduk di dalam dron, iaitu realiti maya.

“Dalam sukan yang merupakan kombinasi teknologi tinggi dengan kemahiran manusia ini, juruterbang perlumbaan mestilah berkemahiran tinggi dalam mengendalikan dron, pantas bertindak balas serta mempunyai daya fikir yang tajam,” tambahnya. – Bernama