RM5.2 bilion untuk Sabah, MP Kota Belud sifatkan ‘Bajet Keluarga Tiri’

in Khas by

KUALA LUMPUR – Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat lalu disifatkan sebagai ‘Bajet Keluarga Tiri’ buat Negeri Sabah selepas hanya memperuntukan sebanyak RM5.2 bilion sahaja.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) ketika membahaskan Bajet 2022 berkata, peruntukan tersebut kecil jika dibandingkan dengan nilai ratusan bilion yang dikaut dari Negeri Bawah Bayu itu.

Pada 2020 sahaja, Sabah menyumbang 10.2 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional, jelasnya.

“Jadi menurut kiraan saya, Sabah seharusnya menerima 2/5 daripada hasil Sabah ke Persekutuan. Maknanya, Sabah sepatutnya diperuntukan sejumlah RM54 bilion pada tahun 2021, iaitu tahun berikutnya.

“Peruntukan yang tersangat kecil ini tidak sepadan dengan apa yang Sabah sumbangkan dan menidakkan pembangunan terutamanya dalam bentuk infrastruktur.

“Keadaan ini memperlihatkan dua bahagian negara Malaysia yang maju dan yang mundur, sehingga terma di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, kadang kala ada ketersasulan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kenaikan peruntukan kepada RM5.2 bilion untuk pembangunan kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik, selain kemudahan pendidikan serta kesihatan di Sabah pada tahun depan.

Selain peruntukan RM5.2 bilion itu, Sabah turut diberi peruntukan untuk menaik taraf 112 sekolah daif di bawah peruntukan untuk sekolah daif seluruh negara yang berjumlah RM746 juta.

Sabah dan Sarawak turut diberikan peruntukan berjumlah RM1.5 bilion untuk pembangunan infrastruktur luar bandar pada tahun depan. – Awani