MARA In Fashion: Nafas baharu penggiat industri fesyen negara

in Nasional by

MARA In Fashion (MIF) kembali beraksi di pentas peragaan menerusi MARA In Fashion Ready To Wear 2021/2022 yang julung kali diadakan secara hybrid di negara ini.

Program yang diadakan secara fizikal di Grand Hyatt dan boleh juga disaksikan secara maya ini telah menarik lebih 700 peminat fesyen tanah air, pemain industri serta para academia untuk menyaksikan pertunjukan tersebut.

Seramai 20 bakat pereka fesyen muda dicungkil dan digilap bagi menghasilkan rekaan yang diperagakan hari ini.

Berkonsepkan Ready To Wear dengan tema ‘Identiti’ ia sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada usahawan dan pereka muda untuk menunjukkan signature style rekaan pakaian masing-masing dalam usaha menempatkan jenama mereka dikenali serta bersaing dengan jenama lain di pasaran fesyen dalam dan luar negara.

Terdahulu, MIF yang dibangunkan sejak tahun 2016 ini telah melalui dua fasa yang bukan sahaja fokus melahirkan pereka fesyen, tetapi juga pattern maker, fashion producer dan fashion retail.

MIF merupakan pakej lengkap yang disediakan kepada peserta terpilih merangkumi empat fasa latihan keusahawanan dan semua aspek dalam perniagaan fesyen serta bimbingan secara terus oleh pakar-pakar industri fesyen seperti Pensyarah Kanan, Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Reka Bentuk UiTM, Faizal Hamid, Fiziwoo dan ramai lagi.

Mereka juga akan ditawarkan dengan kemudahan keusahawanan lain seperti pembiayaan dan premis perniagaan.

Usaha berterusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam membangunkan industri fesyen berjaya melahirkan 54 pereka fesyen hebat yang sebaris dengan pereka tempatan sedia ada antaranya Wan&Mary, Ann Khan, Ummi Riaz dan Amaze.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, Program MIF RTF 2021/2022 merupakan kesinambungan inisiatif Mara di bawah program MIF dalam memperkasa dan memperkukuhkan lagi usahawanusahawan fesyen setelah terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau menyifatkan kejayaan usahawan-usahawan ini adalah bukti usaha gigih Mara dalam mengetengahkan jenama bakat pereka muda di pasaran fesyen tempatan.

“Mereka telah melalui beberapa siri latihan selama enam bulan sejak September 2020 sehingga Februari tahun ini bagi menghasilkan rekaan terbaik untuk diperagakan.

“Ini satu permulaan untuk mereka memperkenalkan jenama dan produk dalam usaha membina rangkaian, sekali gus memasarkannya hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurut beliau, untuk perancangan seterusnya, pihaknya akan berganding bahu dengan industri dan pusat membeli-belah terkenal bagi penyediaan outlet buat pereka-pereka fesyen MIF.

Peluang keemasan

Pereka fesyen Wan&Mary yang juga alumni MIF, Mohd Hazzerwan Mohd Hazlee, 31, dan Siti Mariam Musa, 31, akui teruja dan gembira kerana berpeluang sekali lagi untuk turut serta dalam program MIF tahun ini.

Bagi mereka, pengalaman sepanjang latihan MIF amat berguna kerana ia memberi ilmu dan inspirasi untuk mereka yang ingin berada dalam industri fesyen pada masa akan datang.

“Program pembangunan usahawan fesyen Mara serta memberi bimbingan kepada usahawan dan pereka muda agar tahu cara menyediakan koleksi mereka dan bagaimana untuk berada dalam industri ini.

“Insya-ALLAH tahun hadapan kami akan sediakan koleksi Ready To Wear dan menjualnya secara dalam talian atau outlet,” kata Mohd Hazzerwan.

Wan&Mary mula menyediakan koleksi serta memperkenalkannya kepada umum pada tahun 2018.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Reka Bentuk Universiti Teknologi

Mara (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid berkata, sebagai mentor kepada usahawan dan pereka muda dalam program tersebut, tugasnya adalah untuk memperkembangkan pemikiran mereka bahawa industri fesyen berteraskan kepada perniagaan, bukan fesyen semata-mata.

Menurutnya, industri fesyen kini semakin luas dan koleksi yang direka perlu menepati beberapa kriteria yang telah ditetapkan.

Tegasnya, setiap pereka itu perlu didedahkan dengan pengukuhan kedudukan jenama, mempunyai identiti yang jelas dan rekaan yang dijual mestilah tepat dari segi sasaran pasaran.

“Tugas saya adalah untuk memperkembangkan pemikiran mereka bahawa industri fesyen ini juga berteraskan perniagaan dan bukan hanya kepada fesyen sahaja.

“Jadi saya akan pantau mereka dari segi proses menghasilkan rekaan, kualiti dan turut meminta pemain industri memberikan pandangan mereka,” ujarnya.