Ikan mungkus dapat permintaan tinggi

in Edisi by

TEMERLOH – Orang Pahang khususnya dari Temerloh lebih menggemari ikan mungkus berbanding jenis ikan air tawar yang lain.

Peniaga ikan pekasam, Ridzuan Harun, 38, dari Kampung Buntut Pulau, di sini memberitahu, ikan tersebut mendapat permintaan tinggi dan laris terjual setiap kali dia dan bapanya, Harun Buman, 84, berniaga di Pekan Sehari Temerloh.

Menurut Ridzuan, selain ikan mungkus, dia turut menghasilkan pekasam menggunakan ikan lain seperti patin, kerai dan lampam.

“Mungkin saiz ikan mungkus yang kecil dan mudah dikunyah menjadikan ia lebih mendapat permintaan tinggi orang di sini.

“Selain dijual di pekan sehari, saya juga ada meletakkan ikan ini di kedai-kedai selain menjualnya secara dalam talian, namun orang luar lebih gemarkan ikan lampam,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Ridzuan, dia sendiri menangkap ikan-ikan tersebut menggunakan kemahiran dan pengalaman sebagai nelayan sungai sebelum ini.

“Penghasilan ikan pekasam sudah lama dilakukan oleh arwah ibu, Ramlah Sulaiman dan bapa sejak 1970 hingga kini.

“Hanya ketika arwah ibu sakit pada 2014, saya mula mempelajarinya selain sedar kudrat bapa yang kian dimamah usia,” jelasnya.

Maklum balas positif pelanggan juga membuatkan anak bongsu dari lima beradik itu membantu bapanya dan meneruskan perniagaan hingga kini selepas ibunya meninggal dunia pada 2019.

“Ikan pekasam lagi sedap dimakan kalau diperam tiga hari. Saya akan mulakan penghasilan ikan untuk diperam setiap Khamis sebelum dijual pada Ahad.

“Keunikan ikan pekasam yang dijual ini, ia diletakkan di atas daun keladi hutan berbanding daun pisang yang dijual dengan harga RM6 selonggok,” katanya lagi.

Sementara itu, Harun berkata, walaupun sudah berusia, dia tetap mahu ke pasar bersama anaknya untuk menjual ikan-ikan pekasam tersebut.

Ujarnya, dia bersyukur kerana anak bongsunya itu membantu dan meneruskan perniagaan keluarga.

“Lagipun seronok tengok orang ramai dan saya sendiri rasa kurang cergas kalau tidak berbuat apa-apa,” tambahnya.