Lupakan lawak bodoh banjir

in Lidah Pengarang by

DUA hari lagi tirai tahun 2022 dibuka. Tinggalkan tahun 2021 ini dengan berlapang dada dan muhasabah. Musibah banjir bulan ini adalah dugaan besar buat kita. Ratusan kawasan punah. Harta benda, haiwan kesayangan dan nyawa melayang.

Sepanjang banjir ini juga banyak perkara pelik berlaku. Pak menteri digelar pelakon, rakyat marhaen diangkat menjadi hero. Makian, sindiran dihambur kepada pemerintah. Media sosial tempat meluah kemarahan.

Kini, sudah tiba masanya hentikan pertelingkahan. Lebih baik bermaafan. Pak menteri perlu cari jalan meringankan beban rakyat dan rakyat teruskan menjadi hero.

Pak menteri jadilah individu pertama tiba di lokasi musibah. Tidak perlu bawa rombongan jurugambar seperti pergi kenduri kahwin. Tidak perlu bertumit tinggi. Dek kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Buat rakyat, semuanya ada cerita tersendiri. Kisah Dr Shathiskumar Govindaraju sanggup meredah banjir dengan basikal walaupun berdepan bahaya, selayaknya dipuji.

Demi dua pesakitnya di unit rawatan rapi dan seorang lagi pesakit jantung di Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Klang, pakar kardiologi itu sanggup menggadai nyawa.

Nama Azwan Omar atau Abang Viva dari Alor Gajah, Melaka juga mendapat tempat di hati rakyat. Berbekalkan RM50 Abang Viva membantu mangsa di Selangor dan Pahang menggunakan bot memancing dan Perodua Viva miliknya.

Jasanya itu mendapat perhatian Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali apabila nama Abang Viva berkumandang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Musibah banjir ini turut mendapat perhatian Menteri Kabinet Arab Saudi, Putera Turki Mohammad Fahd Abdulaziz.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kelmarin berkata, Arab Saudi berhasrat membantu Malaysia dengan menghulurkan sumbangan kepada rakyat kita yang terjejas. Bantuan disalurkan menerusi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman.

Akhir kata, sebelum tirai 2021 berlabuh, sekali lagi marilah kita saling bermaafan dan lupakan ‘lawak bodoh’. Eratkan hubungan sesama rakyat, tidak kira bangsa dan agama.