Siapa pemilik balak-balak ini?

in Lidah Pengarang by

KELMARIN, media menyiarkan gambar-gambar mengejutkan ribuan kayu balak terapung dan hanyut di Sungai Telemong, Bentong di Pahang.

Gambar tersebut diambil oleh wartawan yang membuat tinjauan pasca banjir di kawasan itu pada 18 Disember lalu.

Pihak tertentu mendakwa kewujudan timbunan sisa balak itu berpunca daripada kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit.

Pemandangan dahsyat ini sekali gus membangkitkan persoalan siapa pemilik balak-balak ini? Syarikat manakah yang terlibat?

Lebih penting lagi, agensi manakah yang bertanggungjawab membiarkan atau membenarkan aktiviti pembalakan mega ini?

Justeru, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mengambil serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

Difahamkan, Kerajaan Pahang sedang menunggu laporan lengkap siasatan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berhubung timbunan kayu balak di Sungai Telemong.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laporan itu akan disiapkan JPNP dalam masa secukupnya sebelum diserahkan kepada kerajaan.

Menurut Wan Rosdy, pihakya tidak boleh membuat andaian kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Apa pun, desakan 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan meminta kerajaan Persekutuan mengadakan siasatan bebas serta mengambil tindakan segera terhadap pihak yang mungkin bertanggungjawab dalam kejadian bencana banjir lumpur bercampur batang kayu di kawasan itu amat wajar.

Paling penting ia perlu dilakukan tanpa melibatkan campur tangan daripada ahli politik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu siasat apakah ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa?