Ketepikan tradisi, jaga sensitiviti

in Lidah Pengarang by

SEKURANG-kurangnya satu tan barangan di setiap kediaman mangsa banjir terpaksa dibuang selepas musnah dalam kejadian pada 18 Disember lalu.

Itu anggaran paling minimum.

Bayangkan pula bagi mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.

Mereka perlu bermula daripada kosong untuk sebuah kehidupan baharu.

Membeli barangan dapur, pakaian, perabot hinggalah kepada peralatan elektrik tentunya mencecah kos ribuan ringgit.

Tanpa wang simpanan, pasti sukar untuk mereka sediakan kelengkapan tersebut.

Meskipun kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif bantuan seperti moratorium pinjaman, pinjaman tanpa faedah dan bantuan tunai RM1,000, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka.

Kemudahan pinjaman tanpa faedah sehingga RM5,000 daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membeli barangan rumah seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mendapat kritikan hebat.

Desakan juga dibuat agar bantuan tunai RM1,000 dinaikkan sehingga RM5,000 tanpa perlu rakyat menambah hutang.

“Kami tidak mahu berhutang lagi walaupun tiada faedah dikenakan.”

Itu antara luahan mangsa banjir yang turut mendesak agar pengeluaran baki akaun daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diaktifkan semula.

Sehingga artikel ini ditulis, masih terdapat banyak kediaman mangsa banjir yang tidak terurus dan memerlukan peruntukan serta peralatan khusus untuk dipulihkan.

Tiba-tiba muncul pula gambar tular seorang Yang Berhormat (YB) yang didakwa tersalah cara ‘lakonan’ dan dicemuh.

Ada juga YB menonjolkan diri di media sosial dengan kapsyen tertentu dikatakan tidak menghormati sensitiviti mangsa banjir.

Adakah penonjolan itu satu tradisi atau keperluan, diarah atau dipergunakan – hanya empunya badan tahu meletakkan tarafnya.

YB-YB juga patut melupakan tradisi menampal gambar pada kotak, beg sumbangan atau memasang gegantung untuk menunjukkan kewujudan mereka dalam masyarakat.

Tradisi lapuk dan merugikan itu patut dihentikan! Ketepikan populariti. Kos yang mereka gunakan itu lebih wajar diagihkan di tempat yang sepatutnya.