Rombak kabinet pulihkan kembali keyakinan rakyat

in Pojok by

DESAS-DESUS mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu melakukan rombakan kabinet sudah mula kedengaran sejak beberapa hari lalu.

Ia kini menjadi bualan hangat dalam kalangan ahli-ahli politik. Siapa yang bakal kena tukar, siapa pula yang bakal dilantik? Ini semua jadi teka-teki dan jawapannya hanya diketahui Perdana Menteri sahaja.

Bagaimanapun, Merak Jalanan merasakan memang elok sangat jika Ismail Sabri benar-benar mahu melakukan perkara tersebut.

Ini kerana tindak-tanduk beberapa menteri sejak akhir-akhir ini telah mengundang kemarahan rakyat dan memberikan imej buruk kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Kegagalan yang paling nyata ialah ketika Taman Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam mengalami banjir terburuk dalam sejarah.

Tanpa perlu berselindung, masalah koordinasi menjadi punca utama yang menyebabkan bantuan lambat diberikan kepada penduduk di kawasan tersebut.

Dengan kejadian banjir yang semakin serius di beberapa negara, terdapat menteri yang mengambil peluang untuk bercuti ke luar negara sehingga terpaksa ditegur oleh Perdana Menteri supaya menamatkan percutian mereka.

Ini semua memang amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku kerana banjir sudah menjadi acara tahunan di negara ini, cuma yang bezanya sama ada ia adalah banjir biasa atau banjir luar biasa.

Merak Jalanan harap menteri-menteri yang ada sekarang buka mata dan minda luas-luas kerana sekarang belum masa lagi untuk berehat, masih banyak yang perlu dilakukan untuk bantu rakyat.

Ketika Perdana Menteri turun padang dan bermesyuarat setiap hari, takkanlah menteri pula boleh bersenang lenang pergi bercuti.

Ini memang amat menyakitkan hati. Kalau Merak Jalanan jadi Perdana Menteri memang sudah lama mereka ini kena pecat.