Vaksin Cansino diluluskan sebagai dos penggalak

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Vaksin dos tunggal CanSino, Convidecia telah mendapat kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia (PBKD) yang berada di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Solution Group Bhd melalui anak syarikatnya, Solution Biologics Sdn Bhd berkata, PBKD telah bersetuju untuk Convidecia digunakan sebagai dos penggalak. Convidecia ialah vaksin berasaskan vektor adenovirus jenis-5.

Kelulusan itu membolehkan vaksin CanSino digunakan pada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin CanSino, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Nazlee Kamal berkata, kajian menunjukkan bahawa vaksin dos tunggal Convidecia berkesan sebagai dos penggalak terhadap penyebaran varian Covid-19. Ia menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya lapan kali lebih tinggi meneutralkan paras antibodi, enam bulan selepas menerima dos pertama.

“Dengan kelulusan ini, kami berharap ia akan membantu meningkatkan bilangan dos penggalak yang diuruskan dalam negara untuk membendung penularan tersebut,” katanya.

Kumpulan itu juga sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan NPRA untuk Convidecia digunakan sebagai dos penggalak bagi penerima vaksin utama lain seperti CoronoVac yang juga dikenali sebagai Sinovac.

Solution Biologics telah menghantar sebanyak 3.5 juta dos vaksin Covid-19 itu kepada Kementerian Kesihatan pada Disember 2021. Pengeluaran tempatan daripada kemudahan ‘fill and finish’ (pengisian dan pembotolan) dijangka akan bermula tidak lama lagi.– Bernama