Jangan pandang remeh, Omicron terus mengganas: WHO

in Koronavirus by

KUALA LUMPUR – Meskipun ‘IHU’ dan ‘Flurona’ mungkin mencetuskan ancaman kepada dunia ketika kebanyakan negara bergelut mengekang lonjakan baru kes Covid-19, varian yang dibimbangi (VOC), Omicron terus mengganas dan meragut nyawa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran supaya jangan ada pihak yang memandang remeh dan menyifatkan Omicron sebagai ‘hanya varian sederhana kerana varian itu telah meragut banyak nyawa di merata dunia’.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dipetik berkata, “tsunami kes Covid-19 akibat varian Omicron mula memberi tekanan teruk kepada sistem kesihatan di seluruh dunia.”

Data WHO menunjukkan jumlah kes global untuk minggu antara 27 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022 melonjak 71 peratus kepada sebanyak 9.5 juta kes, berbanding minggu sebelumnya. Jumlah kematian baharu juga meningkat 10 peratus.

Sementara itu, para saintis di Institute IHU Mediterranee Infection, Perancis, mengenalpasti varian baharu, secara saintifik dikenali sebagai B.1.640.2 dengan mempunyai 46 mutasi dan menggelarkannya, IHU.

Menurut laporan media antarabangsa Selasa lepas, kes IHU dikaitkan dengan pengembara yang pulang ke Perancis dari Cameroon, terletak di bahagian tengah Afrika dengan 12 kes dikesan di Marseille, selatan Perancis setakat ini.

Namun setakat ini, Omicron dilaporkan masih varian dominan di Perancis dan negara itu pada Jumaat, 7 Januari mencatat sebanyak 328,214 kes harian baharu.

Situasi yang sama dilaporkan di United Kingdom, Portugal dan India, negara yang dikaitkan dengan kemunculan varian Delta. Amerika Syarikat juga menyaksikan gelombang lonjakan kes COVID-19, dikaitkan dengan varian Omicron. Kes harian baharu di negara “Uncle Sam” pada Jumaat 7 Januari adalah sebanyak 628,156 kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan sedang memantau IHU yang dikesan pada masa yang sama varian Omicron dilaporkan merebak di Afrika Selatan pada penghujung November 2021.

Sementara itu, Israel mengesahkan kes pertama individu dijangkiti ‘Flurona’ iaitu kes Influenza dan Covid-19 secara serentak dan wanita yang dijangkiti itu sedang hamil, dilaporkan tidak mengambil sebarang vaksin.

Kes Flurona ini dipercayai yang pertama di dunia.

Kes Omicron dan perkembangan Covid-19 di Malaysia

Sejak kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mengesan kes jangkitan varian Omicron import dan penularan tempatan.

Pada Khamis 6 Januari, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan 44 lagi kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (Whole Genome Sequencing/WGS) dan tujuh (7) kes positif Covid-19 jangkitan tempatan di Sarawak disahkan varian Omicron.

Daripada 44 kes berkenaan, 29 kes dari Arab Saudi, 5 kes dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), 5 kes dari Kazakhstan, 3 kes dari United Kingdom, 1 kes dari Amerika Syarikat dan 1 kes dari Tanzanaia.

Dengan 44 kes terbaharu itu, Malaysia kini mempunyai rekod 245 kes varian Omicron iaitu 233 kes jangkitan import dan 12 kes penularan tempatan. Daripada 245 kes itu, 157 kes (64.08 peratus) melibatkan jemaah umrah.

Sebelum itu, pada Selasa 4 Januari, Khairy mengumumkan sebanyak 58 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron dengan 54 kes jangkitan import manakala empat kes penularan tempatan, dilaporkan di Kedah, dipercayai jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif Covid-19 varian Omicron.

Untuk 54 kes import, 39 dari Arab Saudi; 7 kes dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), 4 kes dari United Kingdom dari Nigeria 2 kes dan setiap 1 dari Kazakhstan dan Perancis. – Bernama