Maegma Minerals patuhi piawaian ditetapkan

in Bisnes by

MAEGMA Minerals Sdn Bhd yang memiliki tanah perindustrian di Tanjung Hantu, Segari, Manjung memenuhi segala piawaian ditetapkan bagi kerja-kerja yang dilakukan di kawasan berkenaan.

Syarikat tersebut dalam satu kenyataan menjelaskan, segala kerja-kerja yang dilakukan telah diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan dan bekerjasama rapat dengan agensi tersebut.

Menurutnya, pihak Maegma berhasrat untuk membangunkan sebuah kilang keluli bersepadu di kawasan berkenaan yang amat diperlukan di negara ini dalam usaha mempertingkat ekonomi menerusi bahan mentah penting itu.

“Kami ingin menjelaskan kepada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar bahawa Maegma sangat konsisten untuk memenuhi semua piawaian alam sekitar dan sebarang kerja yang dijalankan adalah mematuhi sepenuhnya piawaian ditetapkan.

“Kerja-kerja penggantian dan pengeluaran pasir yang dilakukan ketika ini untuk penyediaan tanah berkenaan bagi mengelak teroka haram pertanian, kecurian pasir dan lain-lain aktiviti yang mengancam alam sekitar,” katanya pada Sabtu.

Menurut kenyataan tersebut, kerja-kerja yang dijalankan oleh Maegma di kawasan itu ketika ini juga tidak menimbulkan sebarang risiko alam sekitar dan bersifat sementara.

Sementara itu, bagi memenuhi kehendak piawaian alam sekitar tersebut, Maegma juga berusaha ke arah pelaksanaan kilang keluli mesra alam selain sedang mempertimbangkan untuk memasang loji tenaga solar 40 megawatt bergantung kepada kelulusan.

Menurutnya, pihak syarikat juga menyokong penuh visi kerajaan negeri untuk memacu transformasi pengurusan dan pembangunan Perak melalui tadbir urus yang cekap, inovatif dan kreatif teknologi termasuklah mencapai kelestarian alam sekitar.