Kerajaan serius tangani populasi Harimau Malaya

in Nasional by

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya yang semakin terancam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bilangan Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor.

“Antara lain, ia disebabkan kehilangan habitat dan sumber makanan akibat perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] telah dipinda dan diluluskan oleh Parlimen pada 21 Disember 2021 untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya.

“Melalui pindaan tersebut, denda maksimum ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian.

“Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi,” katanya.

Perkara yang lebih membimbangkan beliau, spesies ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya.

“Mesyuarat pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) bersetuju dengan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun 2021 hingga 2030 melalui enam pendekatan,” katanya.

Ia merangkumi rondaan penguatkuasaan dan pengawalan melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti orang asli.

“Selain itu, langkah pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan diambil dan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram dihentikan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kawasan hutan sedia ada di semenanjung ditingkatkan daripada 43.41 kepada 50 peratus menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.

“Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Perhilitan dan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM ditubuhkan serta Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai centre of excellence diperkukuhkan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya,” katanya.

Kempen Selamatkan Harimau Malaya turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik.

MyTTF dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Pahang,

Selangor serta ahli-ahli majlis kerajaan negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan Perak.

Di peringkat Persekutuan, ia dihadiri oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta wakil kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.