MFPC sokong tidak benarkan lagi pengeluaran KWSP

in Nasional by

KUALA LUMPUR – Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) menyokong keputusan kerajaan yang tidak berhasrat untuk membenarkan lagi skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

MFPC dalam kenyataannya pada Isnin berkata, pihaknya menyokong inisiatif untuk menggalakkan serta penawaran insentif bagi tujuan simpanan jangka panjang menerusi Skim Persaraan Swasta (PRS) yang dapat membantu mengurangkan isu dana persaraan yang tidak mencukupi.

Malah, caruman wajib KWSP itu merupakan teras dalam jaminan kewangan ahli pada usia tua dengan lebih 14 juta rakyat negara ini bergantung kepada dana persaraan itu sebagai jaminan jaringan persaraan masing-masing.

“Pendekatan menggunakan simpanan KWSP bagi menampung keperluan kecemasan akan memberi impak serius kerana menyebabkan ahli mengalami kekurangan simpanan ketika usia persaraan selain ketidaktentuan lain seperti kos penjagaan kesihatan.

“Isu simpanan tidak mencukupi misalnya adalah sesuatu yang membimbangkan berikutan median simpanan golongan B40 adalah pada RM1,000. Jika keadaan itu berterusan sehingga tempoh persaraan, mereka akan hanya mempunyai RM4 sebulan untuk dibelanjakan selama 20 tahun.

“Bagi golongan M40 pula, simpanan sebanyak RM25,000 itu adalah sekitar RM104 sebulan bagi tempoh sama,” katanya.

Kaji Selidik Kebangsaan MFPC 2020 mengenai Keupayaan Kewangan dan Penggunaan Perkhidmatan Nasihat Kewangan di Malaysia, mendedahkan bahawa sebahagian besar rakyat negara ini secara amnya mempunyai kapasiti kewangan yang terhad, tidak tahu menguruskan wang masing-masing selain tiada perancangan atau menabung.

Selain itu, tahap literasi kewangan yang rendah juga menjadi antara punca utama simpanan yang rendah iaitu sekitar 36 peratus.

“Oleh itu, menyedari cabaran tersebut, kami berada di barisan hadapan dari segi meningkatkan aspek literasi kewangan dalam kalangan rakyat. Ini turut memaparkan tanggung jawab sosial korporat selain inisiatif kami untuk menangani keperluan meningkatkan aspek pengetahuan kewangan tersebut.

“Ini jelas dibuktikan menerusi pelbagai program perancangan kewangan sepanjang tahun yang kami anjurkan tanpa sebarang unsur pengkomersialan atau pembayaran yang melibatkan rakyat di segenap peringkat dan latar belakang.

“Pada masa sama, kami amat gembira kerana program terbabit mendapat sambutan baik dengan penyertaan yang menggalakkan serta memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 500,000 rakyat Malaysia di serata negara sejak dimulakan pada 2007,” katanya.

Dalam pada itu, MFPC turut menggesa pihak institusi kewangan untuk bertindak menambah baik aspek perantara kewangan termasuk bank, perunding unit amanah dan ejen insurans dalam pengetahuan dan kemahiran profesional bagi memastikan rakyat mendapat khidmat nasihat perancangan kewangan persaraan yang amat diperlukan.

“Kami yakin inisiatif kolaboratif kami secara kolektif ini akan memberi manfaat kepada rakyat dari segi mengutamakan keperluan kewangan masa depan yang terjamin serta mengharungi usia persaraan yang tenang tanpa tekanan,” katanya. – Bernama