Senarai sekolah belum dibuka akibat banjir dikemas kini setiap Rabu

in Nasional by

KLANG – [DIKEMASKINI] Senarai sekolah yang masih belum dibuka susulan terkesan akibat banjir akan dikemas kini setiap Rabu, bagi membolehkan sekolah terlibat memulakan pengoperasian bagi minggu seterusnya jika sudah bersedia, kata Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Setiap Rabu kita akan mengemas kini senarai tersebut, apabila sekolah itu keluar daripada senarai, maknanya pada Ahad atau Isnin (minggu seterusnya) boleh dibuka bergantung sama ada mereka berada dalam kumpulan A atau B.

“Namun pada masa sama, keadaan dan situasi banjir ini amat dinamik. Sesebuah sekolah itu boleh dibuka, tiba-tiba air naik dan itu secara automatik (sekolah ditutup)… dan tindakan awal akan diambil khususnya untuk maklumkan pada ibu bapa (berhubung penutupan sekolah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Kapar pada Isnin sempena pengoperasian sekolah di Selangor bagi penggal ketiga, 2021/2022.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara memulakan sesi persekolahan bagi penggal ketiga, 2021/2022 melibatkan 1.2 juta pelajar daripada kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan pada Ahad manakala 2.8 juta pelajar membabitkan kumpulan B pada Isnin.

Radzi berkata, bagi Selangor, seramai 473,816 pelajar seluruh negeri itu memulakan persekolahan melibatkan 264,201 pelajar sekolah menengah manakala 446,816 merupakan murid sekolah rendah termasuk prasekolah.

Susulan lawatannya di SK Meru yang merupakan antara sekolah terjejas banjir baru-baru ini, Radzi berkata, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD untuk melihat mana-mana fasiliti itu yang terkesan untuk memastikan perabot dan peralatan mencukupi.

“Kalau ada perabot tidak mencukupi, kita akan bawa perabot-perabot berlebihan daripada sekolah lain atau dari negeri lain,” katanya.

Mengenai sistem pengurusan pertukaran dan penempatan guru (e-GTukar) baharu yang didakwa meletakkan pilihan pertukaran tempat terhad, Radzi berkata, pihaknya akan sentiasa menambah baik sistem tersebut untuk membolehkan ia berada di tahap optimum selain lebih memudahkan mereka terlibat.

“Kita akan sentiasa tambah baik sistem tersebut, sebagaimana sistem baharu yang mana kita akan terima pandangan dan akan kaji untuk melihat pendekatan yang boleh digunakan untuk pembaikan sistem tersebut.

“Kita ambil kira pandangan bila kata (guru) diberi pilihan tiga negeri (bagi pertukaran melibatkan negeri) maka mereka terpaksa pilih tiga negeri sedangkan mereka hanya ingin pindah satu negeri. Begitu juga melibatkan perpindahan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata bagi pertukaran antara negeri, walaupun hanya dinyatakan satu PPD bagi setiap negeri, sistem akan melihat PPD mana terdekat dengan PPD dipilih oleh pemohon. – Bernama