Syarikat, persatuan disaran daftar PPV jangkau luar

in Khas by

KUALA LUMPUR – Syarikat dan persatuan yang ingin memberi dos penggalak kepada pekerja dan ahli mereka digalakkan mendaftar sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) jangkau luar menerusi pengamal perubatan swasta (PPS) dan badan bukan kerajaan (NGO) penjagaan kesihatan yang berdaftar dengan ProtectHealth.

ProtectHealth dalam kenyataan pada Isnin berkata, program itu menyediakan kaedah yang lebih terkawal dan mudah untuk pekerja, terutama bagi mereka yang bekerja di kilang, selain turut menyediakan vaksinasi di rumah.

“Bermula November 2021, PPV jangkau luar ini telah dikendalikan oleh PPS dan NGO penjagaan kesihatan untuk memperluas akses kepada dos penggalak dan mempercepat kadar pemberian vaksin dos penggalak di seluruh negara.

“Syarikat dan persatuan boleh meminta dengan PPS atau NGO penjagaan kesihatan yang telah berdaftar dengan ProtectHealth untuk menjalankan program PPV jangkau luar untuk pekerja atau ahli mereka,” menurut kenyataan itu.

PPV jangkau luar menggantikan PPV industri seperti Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), Program Vaksinasi Barisan Hadapan Industri Agromakanan (AiVAC) dan Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC), yang sebelum ini telah dilaksanakan bersama kementerian berwajib.

PPV jangkau luar turut menggantikan program jangkau luar yang sebelum ini dilaksanakan oleh NGO penjagaan kesihatan bagi kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman.

Menurut ProtectHealth, menerusi program itu, syarikat atau persatuan tidak dibenarkan mengenakan sebarang bayaran kepada penerima vaksin kerana kos vaksin ditanggung oleh kerajaan dan disediakan secara percuma. – Bernama