15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

in Edisi by

KOTA BHARU – Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ibu Pejabat dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak tampil membantu Perhilitan Kelantan bagi menjejaki harimau di Pos Bihai, Gua Musang.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, hampir 15 anggota daripada jabatan berkenaan turun ke penempatan yang diduduki oleh hampir 100 penduduk orang asli itu bagi melakukan operasi menjejaki dan memantau harimau sejak Ahad lepas.

Beliau berkata, tindakan dilakukan susulan kejadian seorang masyarakat orang asli suku Temiar yang maut dibaham harimau pada Jumaat lepas di Kampung Sau, Pos Bihai.

“Kita dapatkan tambahan anggota daripada Perhilitan Ibu Pejabat dan NWRC Sungkai untuk membantu dalam operasi menjejaki harimau di Pos Bihai selain tiga perangkap harimau dan tiga perangkap kamera telah dipasang.

“Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dapat memastikan berapa ekor harimau yang masih ada mahupun sebaliknya memandangkan tiada imej harimau yang ditangkap menerusi kamera yang telah dipasang” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, usaha menangkap harimau agak sukar selain kebiasaannya akan mengambil tempoh yang agak lama berbanding hidupan liar lain terutama membabitkan harimau yang agresif.

“Tangkapan hidupan liar tidaklah semudah seperti yang disangkakan memandangkan hidupan liar ini bergerak dalam skala yang luas terutama harimau dan gajah.

“Selain itu, pihak kami juga dalam pertimbangan untuk memohon bantuan perangkap harimau daripada negeri lain untuk ditambah di lokasi-lokasi sekitar bagi mempercepat operasi ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk masyarakat orang asli di kawasan berkenaan supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

“Dari segi keperluan makanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim telah tampil menghulurkan bantuan bakul makanan dari masa ke masa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat orang asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 40-an, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya, namun hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk dalam hutan. – Bernama