97.8 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksin

in Khas by

KUALA LUMPUR – Seramai 22,886,013 individu atau 97.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima vaksin Covid-19 setakat jam 11.59 malam Isnin, menjadikan hanya 2.2 peratus lagi diperlukan untuk mencapai angka 100 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman CovidNow, seramai 23,170,208 individu atau 99 peratus daripada kumpulan itu juga sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,767,385 individu atau 87.9 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi, manakala 2,857,194 individu atau 90.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sejumlah 223,463 dos vaksin telah diberikan pada Isnin melibatkan 3,273 dos pertama, 2,114 dos lengkap dan 218,076 dos penggalak.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 59,511,395 dos dengan 8,032,484 daripadanya adalah dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, sebanyak 18 kes kematian direkodkan pada Isnin dengan dua daripadanya adalah kematian di luar hospital.

Daripada keseluruhan 18 kes kematian itu, empat direkodkan di Johor; Kedah (tiga), Pahang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan dua kematian, manakala satu kes di Kelantan, Melaka dan Perak. – Bernama