Bermula modal RM100, kini buka kilang risol sejuk beku

in Bisnes by

BERMODALKAN wang simpanan RM100 untuk berniaga akhirnya kini menjadi punca pendapatan lima angka kepada seorang graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sehingga berjaya memiliki kilang penghasilan risol atau pastri berisi daging cincang sejuk beku.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Dan Perniagaan (Perdagangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) itu, Hassmira Che Omar @ Che Hassan, 34, berkata, produk makanan sejuk beku risol keluaran syarikatnya yang dikenali RisolesMY Frozen diterima baik oleh para pelanggan.

Katanya, kejayaan itu sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada suri rumah, pesara dan pekerja profesional untuk mencari pendapatan sampingan.

“Pada mulanya, penghasilan risol hanya dilakukan di rumah saya di Banting, Selangor dengan permulaan modal menggunakan wang simpanan sebanyak RM100.

“Permintaan terhadap risol yang diusahakan bersama suami, Mohd Dzulkifli Mokhli, 36, mendapat sambutan sehingga saya membuka sebuah kilang untuk memproses risol,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Katanya, pasaran mereka pada mulanya hanya melibatkan jualan risol sejuk beku dan siap digoreng di kawasan kejiranan serta kenalan sahaja bermula pada tahun 2017.

“Mulanya, hanya secara kecil-kecilan dan tidak terduga mendapat sambutan walaupun ramai yang belum mengenali risol.

“Risol adalah pastri yang berinti daging cincang dan amat popular di Indonesia sebagai makanan minum petang serta waktu santai,” katanya.

Menurutnya, menu itu menjadi snek pilihan keluarganya dan dari situ tercetus idea untuk mengkomersialkan produk makanan itu hingga berjaya membina kilang di Jenjarom, Banting, Selangor.

“Sejumlah 6,000 hingga 10,000 peket risol dapat dihasilkan dalam sebulan untuk diedarkan di seluruh negara melalui pengedar dan ejen yang dilantik.

“Produk ini juga ada dijual di 70 kedai di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Hassmira bercadang untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat yang lebih tinggi dengan menembusi pasaran di pasar raya yang lebih besar dan kedai-kedai di stesen minyak.

“Ilmu dan kemahiran keusahawanan yang dipelajari di UMK dipraktikkan dalam meningkatkan perniagaan risol sejuk beku sehingga sampai ke tahap ini dalam tempoh empat tahun,” katanya.