Honor lancar telefon pintar boleh lipat 5G

in Bisnes by

SHAH ALAM – HONOR Malaysia (Honor) melancarkan telefon pintar boleh lipat 5G pertamanya iaitu, Honor Magic V dengan menampilkan reka bentuk terkemuka, paparan menarik dan prestasi dinamik yang dikuasakan oleh cip set Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 serba baharu.

Ketua Pengarah Eksekutif Honor Device Co Ltd, George Zhao berkata, model telefon pintar tersebut mengambil lonjakan besar ke hadapan dari segi rekaan bentuk inovatif dengan pelbagai ciri serta fungsi yang membezakannya daripada peranti boleh lipat sedia ada di pasaran.

“Kami sangat teruja untuk melancarkan perdana boleh lipat 5G pertama kami, Honor Magic V, yang menunjukkan kepakaran dan inovasi kami dalam reka bentuk sistem dan komitmen kami untuk sentiasa memberikan pengalaman pengguna yang terbaik dalam kelasnya.

“Honor mempunyai cita-cita yang kuat untuk menjadi jenama telefon pintar berprestasi tinggi dalam pasaran boleh lipat premium dan kami yakin produk boleh lipat perdana kami akan sangat kompetitif berbanding model sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Honor Magic V adalah peranti telefon boleh lipat pertama yang dijana dengan prosesor Qualcom baharu iaitu Snapdragon 8 Gen 1 5G yang mana memberikan prestasi cemerlang kepada pengguna.

Menurut kenyataan, peranti berkenaan yang hadir dengan warna hitam, ‘space silver’ dan ‘burnt orange’ juga dilengkapi dengan 12GB memori (RAM) dan 256GB kapasiti simpanan.

Selain itu, model baharu tersebut sangat ringan dan seimbang apabila diletakkan di tapak tangan kerana ia dicipta dengan aloi titanium, logam cecair zirkonium serta gentian karbon berkuasa tinggi yang mengurangkan ketumpatan peranti itu.

Honor Magic V menampilkan empat kamera dengan kamera belakang 50MP, kamera hadapan 42MP serta mempunyai tiga mod fotografi iaitu mod malam, HDR dan zoom.

Di samping itu, peranti baharu itu dikuasakan oleh bateri dengan kapasiti 4,750 selain disokong oleh 66 watt (W) ‘Honor Super Charge’ membolehkan bateri diperah sehingga 50 peratus dalam masa 15 minit sahaja.

Buat masa ini, model berkenaan boleh didapati di China bermula 18 Januari ini dengan harga RMB9,999 untuk versi 12+256GB manakala RMB10,999 untuk versi 12+512GB.

Untuk maklumat lanjut boleh mengunjungi laman rasmi Honor di www.hihonor.com.