Isu PPV sesak: Penerima tidak ikut masa janji temu

in Koronavirus by

PETALING JAYA – Penerima vaksin didapati datang dengan tidak mematuhi waktu janji temu ditetapkan dalam MySejahtera menyebabkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Emporis Primer Cherang di Kota Damansara sesak kerana orang ramai terpaksa beratur panjang bagi menunggu giliran.

Pengurus PPV tersebut, Dr Suffian Sani berkata, sepanjang tiga minggu beroperasi, situasi di PPV tersebut tidak berlaku sedemikian.

“Dianggarkan seramai 300 penerima vaksin datang sekitar jam 1 hingga 3 petang pada hari tersebut. Misalnya, ada dalam kalangan mereka menerima janji temu pada jam 9 pagi dan 5 petang, tetapi datang pada jam 2 petang lalu menyebabkan PPV sesak.

“Semalam (Isnin) pertama kali PPV jadi begini (sesak). Sebelum ini tidak ada penerima yang terpaksa beratur panjang.

“Kami pula terpaksa dahulukan mereka yang mematuhi janji temu. Selepas itu baru kami selesaikan penerima yang tidak mengikut janji temu,” katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Dr Suffian memberikan respons terhadap isu kesesakan yang berlaku di PPV berkenaan yang tular di media sosial.

Pada Isnin, tular di media sosial PPV Offsite Emporis Primer Cherang sesak dengan kehadiran orang ramai dipercayai ingin mendapatkan suntikan dos penggalak.

Situasi tersebut dirakam dalam satu video yang berdurasi selama dua minit 16 saat dan seorang individu dipercayai salah seorang penerima vaksin berkongsikan video tersebut lalu ia tular.

Menurut individu berkenaan, janji temu gilirannya adalah pada jam 3 petang, bagaimanapun, sehingga jam 3.20 petang, orang ramai dilihat masih beratur dengan barisan yang panjang.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Dr Suffian berkata, keadaan tersebut berlaku disebabkan ramai penerima risau jika stok vaksin tidak mencukupi.

“Ramai penerima datang seawal jam 6.15 pagi. Sepatutnya tidak perlu risau dan mereka perlu ikut waktu diterima melalui MySejahtera kerana Protecthealth dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan vaksin mencukupi untuk semua penerima,” ujarnya.

Tambah Dr Suffian, kebiasaannya proses penerimaan vaksin hanya mengambil masa 30 minit.

Sementara itu, seorang penerima dos penggalak di PPV itu, Chuah Shang Zhe hanya mengambil masa sekitar 15 minit ketika menerima suntikan vaksin.

Tambah Shang Zhe yang berusia 30 tahun itu, berdasarkan pengalamannya hadir ke PPV tersebut, dapat dilihat pengurusan di PPV berkenaan teratur dan memudahkan semua penerima.

“Saya baru sahaja selesai mengambil dos penggalak dengan hanya mengambil masa 15 minit. Saya lihat pengurusan di PPV ini bagus, berjalan dengan lancar dan saya puas hati,” katanya yang bekerja sebagai akauntan.

Seorang suri Rumah, Nur Atiqah Shamsulbahrin juga berkongsikan pengalamannya ketika datang ke PPV berkenaan untuk menerima suntikan vaksin.

Wanita berusia 31 tahun itu berpandangan, baginya pengurusan di PPV tersebut teratur dan tidak mengambil masa lama.

“Walaupun ramai tetapi saya hanya ambil masa 15 minit untuk menerima suntikan dos penggalak,” katanya.