KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bilion

in Bisnes by

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM48.02 bilion bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2021, meningkat 7.7 peratus daripada RM44.60 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama 2020.

Menurut kenyataan KWSP pada Selasa, jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 pula mencecah RM13.97 bilion, lebih rendah daripada RM17.33 bilion yang direkodkan pada suku yang sama 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pasaran ekuiti domestik dan pasaran pesat membangun pada suku ketiga 2021 adalah tidak menentu, sebahagian besarnya disebabkan oleh kebimbangan berhubung peningkatan kadar inflasi dan kadar faedah.

“Pada masa yang sama, pemulihan berterusan ekuiti dalam ekonomi maju ketika suasana ketidaktentuan yang memuncak telah memberikan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan tambahan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Menurut kenyataan itu, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 54 peratus atau RM7.50 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

“Sebagai sebahagian daripada dasar dalaman dan langkah berhemat bagi memastikan kemantapan portfolio KWSP, sebanyak RM0.11 bilion turun nilai kos untuk ekuiti tersenarai yang telah dicatatkan pada suku tersebut, berbanding RM0.13 bilion pada suku yang sama 2020.

“Setelah mengambil kira turun nilai kos, pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM13.86 bilion telah direkodkan pada suku ketiga 2021,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, secara kumulatif, sebanyak RM0.35 bilion telah diturun nilai untuk ekuiti tersenarai, ekuiti tersenarai, lebih rendah daripada RM6.46 bilion pada tempoh yang sama 2020, didorong oleh pemulihan berterusan dalam pasaran ekuiti global, menjadikan pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM47.67 bilion bagi sembilan bulan pertama 2021, berbanding RM38.14 bilion untuk tempoh sama 2020.

Kata kenyataan itu, pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM5 bilion atau 36 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar semasa suku ketiga 2021, iaitu lebih rendah daripada RM8.18 bilion yang dijana pada suku ketiga 2020, berikutan keuntungan dagangan yang lebih rendah.

“Ini selari dengan hasil pasaran yang lebih tinggi pada suku ketiga 2021 berbanding tempoh sama 2020,” kata kenyataan itu.

Selain itu, hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang KWSP pula masing-masing menyumbang RM1.18 bilion dan RM0.29 bilion.

Setakat September 2021, aset pelaburan KWSP mencatatkan RM988.55 bilion dengan sejumlah 36 peratus telah dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

“Pada suku ketiga 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.10 bilion yang merangkumi 58 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sejumlah RM1.40 bilion daripada RM13.97 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk Simpanan Shariah manakala Simpanan Konvensional sebanyak RM12.57 bilion.

Menyentuh prospek, Amir Hamzah berkata, pembukaan semula ekonomi Malaysia dijangka dapat menyokong pemulihan secara beransur-ansur sehingga 2022 dan KWSP akan merancakkan lagi usaha untuk membantu kalangan ahli membina semula simpanan persaraan mereka serta melebarkan jaringan keselamatan sosial.

“Antara inisiatif utama KWSP pada 2022 adalah mengemaskinikan mandat kami agar kekal relevan kepada lebih ramai rakyat dalam sektor tidak formal serta pekerja kontrak bagi perkhidmatan yang kini merangkumi tenaga kerja majoriti negara.

“Ini penting kerana kami ingin memastikan mereka mendapat akses sekurang-kurangnya kepada taraf hidup minimum, walaupun dalam suasana yang tidak dijangka,” katanya. – Bernama