Petronas sumbang 1,500 unit oximeter di tiga negeri

in Edisi by

KOTA BHARU – Bagi memberi sokongan kepada penjagaan kesihatan dalam tempoh pandemik Covid-19, Petronas tampil memberikan 1,500 unit oximeter kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, pada Selasa.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan Petronas dalam membendung penularan wabak Covid-19 sekali gus menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia ke arah pembasmian wabak tersebut.

“Sehingga kini Petronas telah menyumbang lebih daripada RM100 juta sama ada dalam bentuk wang tunai, peralatan perubatan dan peralatan perlindungan diri kepada barisan hadapan di dalam usaha menangani Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Che Ahmad Tarmizi sebelum itu hadir ke Kompleks Kota Darul Naim bagi menyampaikan sumbangan 250 unit oximeter kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Haji Izani Husin.

Katanya, sumbangan berkenaan melibatkan kos lebih RM100,000 dengan Terengganu menerima 1,000 unit oximeter manakala Pahang dan Kelantan pula 250 unit setiap negeri.