Apa di sebalik cerita vaksin, umrah?

in Lidah Pengarang by

KETIRISAN secara linguistiknya bermaksud kebocoran. Namun, apabila istilah ini dikaitkan dengan sesuatu isu yang menjurus kepada aspek ekonomi dan sosial, ia juga boleh membawa maksud kepada penyelewengan.

Isu hangat yang masih berlegar ketika ini tidak lain tidak bukan berkaitan vaksin dan umrah. Ia tercetus apabila dikatakan 14 peratus jemaah umrah di bawah kendalian agensi pelancongan yang dikesan positif Omicron, tiada rekod vaksinasi Covid-19.

Ramai yang marah apabila 17 individu tanpa vaksin terlepas menunaikan umrah sedangkan mereka yang lain terpaksa melalui proses dan prosedur operasi standard (SOP) yang renyah sejak dari awal permohonan, pendaftaran, kelulusan hinggalah ketibaan di Tanah Suci.

Isu ini menyebabkan Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beri penjelasan lanjut.

Di mana silapnya? Ada ketirisan di mana-mana bahagian atau agensi kerajaan? Siapa yang meluluskan? Kenapa agensi pengendali umrah terbabit tidak patuhi syarat? Pelbagai persoalan dilontarkan orang ramai kerana kecewa dengan apa yang berlaku. Ketelusan pihak-pihak berkaitan di Malaysia dipersoal, sedangkan SOP ditetapkan Kerajaan Arab Saudi diketahui amat ketat.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui terdapat kekhilafan dalam proses pemeriksaan 17 individu terbabit, bukanlah jalan penyelesaian jitu.

Ini bukan soal vaksin semata-mata. Vaksin bukan jaminan untuk seseorang itu tidak terkena sebarang jangkitan penyakit tetapi vaksin perlu sebagai ikhtiar untuk melindungi penyakit menjadi lebih serius jika dijangkiti.

Apabila bercakap tentang kepentingan umum, integriti perlu jadi yang teratas. Dalam hal berkaitan vaksin dan umrah, jemaah yang ingkar, tidak telus, tidak jujur, malah menipu dokumen sijil vaksin patut dikenakan tindakan.

Mana-mana agensi dan jabatan yang terlibat dengan ketirisan atau cuai ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab, mesti didakwa. Itu yang orang ramai mahukan. Kita kena ingat, pengambilan vaksin Covid-19 sama seperti mengerjakan umrah – ia satu tuntutan dan ibadah!