Penipuan dalam talian: 2,021 kertas siasatan dibuka

in Edisi Perak by

LUMUT – Sebanyak 2,021 kertas siasatan mangsa penipuan dalam talian di negei ini dibuka membabitkan kerugian hampir RM70 juta tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ramai yang menjadi mangsa terutama wanita kerana terlalu mudah percaya selain tahap kesedaran rendah.

Menurut beliau, kejadian terbaru pada Khamis lalu mengakibatkan seorang mangsa mengalami kerugian sebanyak RM174,000 selepas menerima panggilan daripada syarikat insurans kononnya ada membuat tuntutan palsu.

“Perkara itu berlaku kerana mangsa tiada maklumat mengenai modus operandi sindiket penipuan seperti Macau Scam, Love Scam, pinjaman tidak wujud malah dan individu tertentu yang menyamar dengan menggunakan gambar profil rakan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor di sini pada Sabtu.

Kayuhan santai sejauh 12 kilometer melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Berbasikal Pulau Pangkor.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung, Datuk Shaharudin Nazari.

Mior Faridalathrash turut menasihatkan mangsa penipuan dalam talian membuat laporan polis walaupun kerugian yang dialami kecil dan tidak mengambil mudah perkara itu.

“Polis akan terus mengesan dan mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan bagi mengelakkan mereka memperdaya masyarakat,” katanya.

Katanya, Polis Perak kini memfokuskan usaha mengekang jenayah dalam talian selain membanteras kegiatan dadah tahun ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika menerima panggilan yang mencurigakan,” katanya.

END