Dua pemburu haram diberkas, senapang patah dirampas

in Edisi Johor by

JOHOR BAHRU – Kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan Jalan Batu 16, Jalan Kota Tinggi- Mersing terbongkar susulan penahanan dua lelaki disyaki pemburu haram pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki tempatan dan warga asing berusia 33 dan 44 tahun diberkas pada jam 11.30 malam.

Beliau memberitahu, polis Johor dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Kota Tinggi melakukan satu Op Khazanah selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pemburu haram di kawasan hutan berkenaan.

“Polis turut merampas selaras senapang patah, lapan butir peluru penabur, klip besi dan batang besi berukuran 12 sentimeter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan disyaki suspek membuat sendiri senapang berkenaan kerana

tiada nombor siri atau jenama buatan.

Tambah beliau, dua suspek itu tidak mempunyai lesen berburu tetapi aktif memburu binatang liar sejak dua tahun lalu melibatkan landak, ular sawa, babi hutan.

Katanya, suspek tempatan ditahan reman empat hari manakala warga asing ditahan selama 14 hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.