Sijil vaksin palsu jejas usaha tangani Covid-19

in Lidah Pengarang by

DALAM usaha menyekat penularan virus Covid-19, suntikan vaksin adalah langkah berkesan selain pemakaian pelitup muka, kerap membersihkan tangan dan penjarakan fizikal.

Kemunculan varian baharu iaitu Omicron dan Delta sejak akhir-akhir ini menambahkan lagi kebimbangan seluruh dunia apabila jumlah kes jangkitan Covid-19 setakat minggu lalu telah mencecah 332 juta manakala jumlah kematian melebihi 5.57 juta orang.

Bagi negara kita, kerajaan masih berusaha sedaya-upaya untuk menggalakkan rakyat jelata mendapatkan dos penggalak.

Tenaga kerja di barisan hadapan pula terus berkorban masa dan tenaga untuk memastikan kesihatan dan keselamatan kita terlindung daripada serangan virus tersebut.

Malangnya, sejak seminggu lalu, seluruh negara dikejutkan dengan terbongkarnya perbuatan menjual sijil digital vaksinasi palsu oleh doktor yang tidak bertanggungjawab.

Di Selangor, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan itu dalam serbuan di sebuah poliklinik di Gombak.

Sehingga hari ini, seramai 5,601 individu yang dikesan mendapatkan sijil digital vaksinasi tidak sah dari poliklinik itu sedang dicari polis untuk membantu siasatan.

Sementara di Terengganu pula, seorang doktor klinik swasta di Marang ditahan kerana menawarkan khidmat menjual sijil vaksinasi palsu.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September lalu selepas premisnya diberikan kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Pihak polis Terengganu mengesahkan sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dikeluarkan oleh klinik berkenaan kepada pelanggan dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

Itu baru dua kes yang berjaya dibongkar. Apakah ada lebih banyak lagi kes penjualan sijil vaksinasi yang tidak dikesan pihak berkuasa?

Perancangan kerajaan dalam memerangi Covid-19 pasti akan terbantut sekiranya ada segelintir pengamal perubatan melakukan perbuatan tidak bermoral itu semata-mata untuk meraih keuntungan.

Kerjasama daripada orang ramai juga penting untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui ada klinik yang terlibat dalam penjualan sijil vaksinasi palsu ini.