PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

January 2022 - page 2

Buat keputusan biar betul

in Wawancara by

Buat keputusan biar betul

WAWANCARA EKSKLUSIF

Tidak mahu rakyat merana di kemudian hari, menolak cadangan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000 adalah antara perkara betul yang Menteri Kewangan ini akui perlu beliau lakukan.

Bukan sekadar itu, Tengku Zafrul turut berkongsi banyak perkara yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan bagi membantu rakyat memerlukan.

Semua ini dan banyak lagi dalam Wawancara Eksklusif bersama Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di semua platform digital Sinar Harian.

#SinarHarian #WawancaraEksklusif

Jadi usahawan berjaya, tunduk kepada ALLAH SWT

in WacanaQuran by

SHAH ALAM – “Kita bersujud dan reda kepada ALLAH SWT. Ini kerana apa jua yang kita ikhtiar dan merancang banyak perkara, tapi ingatlah pada akhirnya ia terpulang kepada ALLAH SWT.”

Demikian kata Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin ketika berkongsi pengalaman bagaimana untuk menjadi usahawan berjaya tetapi tunduk kepada ALLAH SWT.

Beliau merupakan tetamu jemputan dalam program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) siri ke 41, Edisi Khas Tahun 2022 bertajuk “Sujud seorang hamba”, di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 1 Januari ini.

Program tahajud dengan pengisian tadabbur surah pilihan diadakan secara hibrid seawal jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi. Hampir 100 peserta dan kru bertugas di lokasi PPAS, manakala orang ramai mengikuti di platform Zoom dan siaran secara langsung di Facebook World Quran Hour dan Sinar Harian.

“Dalam menjalani kehidupan, kita sebagai manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Jika niat kita baik, tetapi berlaku kesalahan, maka kita mohon keampunan kepada ALLAH SWT yang Maha Pengampun.

“ALLAH SWT mengurniakan akal fikiran kepada manusia. Fikirlah secara logik, lakukan dengan disiplin dan buat dengan hati. Hati kita akan memberitahu apa yang betul dan salah.”

Tambah beliau, kebanyakan anak muda hari ini hendak cepat kaya, tetapi tiada kepantasan untuk mencapainya. Dalam bidang perniagaan atau apa jua yang kita lakukan, buatlah dengan niat yang baik, dan makan dengan duit yang halal.

“Kita berniaga bukan niat untuk jadi kaya dan terkenal. Jika niat tidak betul, ia tidak mungkin terjadi. Kekadang kita mendapat kekayaan dengan cepat sehingga tidak dapat menguruskannya dengan baik.

“Sebagai anak muda, jangan fikir pasal duit, tetapi kerja kuat, makan duit halal, tolong orang dengan niat ikhlas, dan bukannya mengharapkan balasan. Jika kita sudah ada kemampuan, jangan lupa diri dan asal usul kita. Ini sangat penting.”

Kata beliau lagi, doa ibu bapa juga sangat mustahak. Ramai kalangan kita sibuk menggunakan telefon bimbit tetapi tidak sempat untuk menghubungi ibu bapa. Mereka cuma mahu bertanya khabar dan mendengar suara anak dalam seminit dua. Jika ibu bapa mengadu atas sebarang perkara termasuk kesihatan seperti sakit lutut dan sakit kepala, kita dengar sahaja. Apa yang paling penting, mereka doakan untuk kita.

“Saya sebenarnya hari-hari berjumpa dengan emak saya sebelum keluar rumah, di waktu pagi dan petang atau malam, walau sibuk mana sekalipun.

“Mungkin ramai bertanya, apakah tip utama menjadi usahawan berjaya? Bagi saya, kita mesti cari pasangan yang betul. Jika perempuan, carilah suami yang betul. Biarlah pasangan faham dengan kerja kita. Ini menjadi keutamaan.

“Apa pun yang berlaku kepada saya, isteri beri sokongan sepenuhnya, bahkan dia menggalakkan saya untuk jumpa emak. Kita sebagai usahawan, masa itu emas. Apa yang penting, kita menghabiskan masa yang berkualiti dan positif bersama keluarga.”

Ameer menambah, jika berlaku kesalahan dalam berurus niaga, kita jangan fikir banyak. Sebaliknya, kita bermuhasabah diri untuk melakukan perkara lebih baik. Selepas itu jangan diungkit dengan berkata kalau.

“Tok guru saya di Kelantan berpesan kepada orang kaya, tidak salah berniaga buat keuntungan, tetapi janganlah untung banyak sangat kerana tidak barakah. Apa yang kita buat hari ini bukan sekadar material tetapi perlu seimbang dengan nilai spiritual yang membawa ketenteraman.

Azam tahun ini, kita hapuskan rasuah kerana ia perkara paling buruk berlaku di negara. Sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama, perlu bekerjasama untuk menjadi bangsa lebih baik.

“Saya harapkan tahun ini kita semua mencapai kejayaan cemerlang. Apa pun yang berlaku, kita perlu bertabah kerana ALLAH ada sebab. Kita perlu sentiasa melihat hikmah di sebalik kejadian dengan positif,” katanya.

Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan dalam pelbagai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal, anjuran WUIF di sepanjang tahun ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Quran Hour.

KWSP: Keluar atau simpan?

in Kopek Isu by

KOPEK ISU 22 JANUARI 2022

Isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi bualan hangat selepas ada suara-suara kembali mendesak kerajaan supaya membenarkan satu lagi pengeluaran secara one off bagi membantu pencarum terjejas akibat banjir.

Tonton video menarik di https://bit.ly/3nMnnPj

Muzik: Artlist.io

#SinarHarian #KopekIsu #KWSP

Kita sedia maklum implikasi tidak divaksin

in Lidah Pengarang by

KEPERLUAN mengambil vaksin Covid-19 termasuk dos penggalak tidak boleh dipandang ringan atau negatif kerana ia adalah langkah perlindungan diri daripada jangkitan virus yang sentiasa bermutasi.

Namun, wujud kebimbangan segelintir masyarakat untuk mengambil dos penggalak selepas lengkap menerima dua dos suntikan.

Jumlah rakyat Malaysia yang mengambil dos penggalak juga dilihat masih rendah.

Mungkin kerana dos penggalak disyorkan tetapi tidak diwajibkan.

Setakat 16 Januari lalu, seramai 9,364,326 individu atau 40 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah menerima dos penggalak.

Justeru, kerajaan harus merintis usaha untuk menggalakkan, mendidik, memotivasi dan memujuk agar lebih ramai rakyat Malaysia mengambil dos suntikan penggalak.

Kebimbangan orang ramai menerima vaksin campuran sebagai dos penggalak perlu ditangani secepat mungkin bagi membendung risiko peningkatan kes.

Hapuskan persepsi bahawa dua dos vaksin sudah mencukupi untuk ketahanan diri atau menganggap pengambilan dos penggalak adalah konspirasi syarikat farmaseutikal membuat lebih banyak wang dan keuntungan.

Kajian menunjukkan perlindungan diri terhadap Covid-19 berkurangan dari masa ke masa atau istilahnya imuniti berkurangan.

Tahap antibodi menjadi lebih rendah selepas tiga hingga sembilan bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 16 Januari lalu turut menyarankan orang ramai segera mendapatkan dos penggalak sebagai perlindungan diri dan keluarga.

Kata beliau, ia juga sebagai satu daripada usaha bagi umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Maka, bagi yang layak menerima dos penggalak, dapatkanlah demi kesihatan diri, keluarga dan masyarakat, sama seperti tujuan pengambilan dua dos sebelum ini.

Walaupun vaksin tidak menjadikan diri kebal sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita ada perlindungan daripada jangkitan.

Janganlah merungut atau mengeluh kerana perlu divaksin lagi.

Kita sedia tahu implikasi tidak divaksin itu lebih besar sehingga membawa kematian.

Bank jangan tekan peminjam

in Wacana by

SHAH ALAM – Bank perlu memberikan peluang terutama dalam menstrukturkan kembali pembayaran pinjaman bulanan ketika pasca pandemik ini untuk mengelakkan lebih ramai peminjam muflis.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata, kebanyakan bank tidak cuba memahami masalah yang dihadapi dan hanya tahu untuk membuatkan peminjam menjadi muflis.

“Contohnya, peminjam dulu mungkin pembayar hutang yang bagus dan sudah melunaskan pembayaran dengan baik untuk tempoh enam tahun.

Tak akan hanya kerana dua tahun tak bayar terus nak mufliskan.

“Inilah kelemahan bank dan bank seharusnya beri peluang kepada peminjam serta berfikiran positif.

“Mereka perlu tanya masalah peminjam dan panggil untuk berbincang.

Jika tak mampu bayar jumlah pinjaman bulanan seperti dulu, berapa peminjam itu mampu.

Itu yang sepatutnya dilakukan oleh bank lebih-lebih lagi dalam keadaan negara baru nak pulih daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Lelong, bankrup dan gulung tikar pasca pandemik pada Khamis.

Mengulas lanjut, 4PM yang juga sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah membantu ramai peminjam terutama untuk berunding dengan pihak bank mengenai jumlah bayaran bulanan.

“Kami akan tolong untuk berbincang dengan pihak bank dan ada juga kes yang kami bantu peminjam untuk keluar daripada status muflis itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat lima bank di negara ini yang menjual hutang lapuk kepada pihak ketiga.

“Sepatutnya hutang lapuk untuk tempoh enam tahun ke atas tidak boleh dijual.

Tetapi, bank masih jual kepada pihak tertentu.

“Ramai yang mengadu kepada 4PM kenapa tidak diberikan notis bahawa pinjaman tersebut bukan dengan bank lagi.

Pengadu ini diganggu dan diugut oleh pemungut hutang yang menuntut hutang.

“4PM pernah cuba berunding dengan pembeli hutang itu dan mereka berkeras tidak mahu beri kerjasama.

Akhirnya kami kembali berbincang dengan bank asal dan memberitahu mereka mengenai akta yang mereka langgar ini,” katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat pengadu yang akaun mereka diletakkan status sebagai ‘special attention account’ walaupun hutang lapuk itu telah dijual kepada pihak ketiga.

“Ia menunjukkan bank bersekongkol dengan pihak ketiga tersebut dan perkara ini perlu diambil perhatian.

Kami sendiri telah membuat laporan kepada Bank Negara tetapi tidak dapat maklumbalas,” katanya.

‘Bukan lagi kais pagi makan pagi’

in Wacana by

SHAH ALAM – Krisis kesihatan akibat penularan Covid-19 yang ditambah buruk dengan kemeruduman ekonomi, konflik politik dan bencana banjir menyebabkan segelintir rakyat kini bukan sahaja terpaksa hidup ibarat kais pagi makan pagi bahkan ada yang tiada makanan untuk dijamah.

Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, oleh itu sekarang menjadi waktu terbaik untuk melakukan reformasi agar unsur kemanusiaan turut diterap dalam ekonomi termasuk dalam soal melibatkan institusi kewangan dan peminjam.

“Kita mahu memanusiakan ekonomi agar ekonomi bukan hanya mementingkan atau mengutamakan kantung atau poket sesetengah individu sebab kita tahu ada sesetengah syarikat yang untungnya luar biasa masa Covid-19 tapi jumlah orang yang tersungkur gulung tikar pun ramai.

“Di luar sana (ramai rakyat) bukan sahaja kais pagi makan pagi tapi ada yang tak ada benda pun untuk dikais,” katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-318 bertajuk ‘Lelong, Bankrup dan Gulung Tikar yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Khamis.

Dua lagi panelis yang bergandingan bersama Madeline adalah Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia, Rosland Mohd Arif dan Penasihat Korporat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia, Khairul Anuar Abd Rahman manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Ismail terdahulu bertanya beliau sama ada bersetuju dengan pandangan bahawa wujud sistem ekonomi kapitalis yang berat sebelah apabila bank mencatatkan margin keuntungan yang tinggi sepanjang tahun 2020 dan 2021 tetapi ramai rakyat bawahan menderita mungkin disebabkan perniagaan gulung tikar, tidak mampu bayar hutang serta sesetengah bank tidak ingin melaksanakan moratorium atas pelbagai alasan.

Mengulas lanjut, Madeline memberitahu, beliau bersetuju wujud sistem kapitalis apabila ada pihak yang memberi pinjaman menekan pihak yang mendapat pinjaman ketika keadaan sukar.

Justeru itu, tegas beliau, waktu ini menjadi masa terbaik kepada institusi kewangan di negara ini untuk menunjukkan bahawa mereka berada teguh di sisi rakyat dan sama-sama membantu rakyat untuk kembali bangkit.

“Kalau kita lihat dalam tempoh Covid-19 banyak institusi kewangan membuat keuntungan tetapi takkanlah tidak boleh beri (kelonggaran kepada peminjam) kerana situasi sekarang adalah luar biasa.

“Situasi ini tidak pernah berlaku dalam negara kita. Sebelum ini memang kita dah ada krisis kewangan pada 1997 dan 2008 tetapi ketika ini krisisnya bertimpa-timpa antara kesihatan, ekonomi, politik dan (bencana) banjir.

“Jadi dalam keadaan begitu sukar seperti ini maka di sini perlu ada tuntutan kemanusiaan. Institusi kewangan inilah masa terbaik untuk menunjukkan bahawa ‘we stand together’,” katanya.

Menurutnya, sifat timbang rasa itu penting bagi institusi kewangan kerana sekiranya ekonomi runtuh kesannya pada institusi kewangan sendiri selain institusi kewangan itu sendiri tidak boleh wujud tanpa adanya peminjam atau pencarum.

“Jadi janganlah dalam keadaan ibarat orang dah tercungap-cungap kita tarik tabung bantuan pernafasan dia,” katanya.

Kad kredit punca peniaga kecil terbeban hutang

in Wacana by

SHAH ALAM – Kad kredit menjadi antara punca menyebabkan peniaga kecil terbeban dengan hutang terutama ketika mengharungi musim sukar pandemik Covid-19.

Penasihat Korporat Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Khairul Anuar Abdul Rahman berkata, kebanyakan peniaga kecil hanya membuat pembayaran minimum kad kredit setiap hujung bulan berbanding melunaskan sepenuhnya pinjaman tersebut.

“Terdapat sesetengah peniaga kecil sukar nak dapat pinjaman bank, jadi mereka pinjam menggunakan kad kredit. Isunya apabila dia menyalahgunakan kad kredit tersebut.

“Misalnya, apabila dia meminjam RM5,000 melalui kad kredit dan beli barang daripada pembekal dan sebagainya. Dia hanya bayar bayaran minimum setiap hujung bulan dalam kad kredit tersebut menyebabkan hutangnya bertambah setiap bulan.

“Sepatutnya, apabila dia dah dapat bayaran daripada jualan barang dan sebagainya, dia kena selesaikan amaun penuh yang dipinjam. Tetapi hakikatnya perkara ini selalunya tidak berlaku,” katanya dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Lelong, bankrup dan gulung tikar pasca pandemik pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, apabila situasi itu berlaku, hutang akan semakin bertambah dan diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Semuanya menjadi sukar dan tidak terkawal apabila Covid-19 melanda sekali gus memberikan kesan kepada peniaga kecil tersebut.

“Mereka terbeban bukan hanya dengan hutang kad kredit, tetapi juga hutang rumah, kereta dan sebagainya sekali gus merisikokan mereka untuk muflis,” katanya.

Lebih 80 peratus wanita Malaysia belum jalani ujian mamogram

in Lidah Pengarang by

GOLONGAN wanita tidak boleh memandang remeh terhadap saranan kerajaan agar menjalani ujian mamogram bagi pengesanan awal kanser payudara.

Ini kerana lebih 80 peratus wanita di negara ini belum menjalani ujian mamogram. Nisbah menunjukkan 34.1 bagi setiap 100,000 wanita di Malaysia berdepan dengan penyakit tersebut.

Berdasarkan statistik pada tahun lalu, lebih 8,000 wanita disahkan menghidap kanser payudara dan menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, sebanyak 47.9 peratus daripada kes kanser payudara dikesan ketika sudah berada pada tahap tiga serta empat.

Sehubungan itu, golongan wanita disaran memanfaatkan pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk segera membuat saringan awal.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff baru-baru ini menasihatkan agar golongan wanita supaya tidak menunggu sehingga keadaan parah baru ujian saringan hendak dilakukan sebaliknya wanita mengambil peluang dan kesempatan yang diberikan.

Kerajaan menerusi Bajet 2022 turut memperuntukkan RM11.5 juta bagi saringan dan ujian kanser payudara serta serviks di seluruh negara.

Selain itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperkenalkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) sebagai usaha mempromosikan program subsidi ujian berkenaan.

Bagi menggalakkan wanita menjalani ujian tersebut, LPPKN menyediakan kemudahan pengangkutan dari Klinik Nur Sejahtera atau pusat komuniti ke pusat mamogram.

Elaun makan RM10 diberikan kepada klien yang dirujuk menjalani ujian di pusat mamogram bagi jarak lebih 200 kilometer atau perjalanan lebih empat jam sehala dari tempat berkumpul.

Bantuan kemudahan penginapan sebanyak RM110 sehari juga diberi kepada klien yang tidak dapat menyelesaikan urusan mamogram pada hari yang sama.

Ingatlah selain kanser payudara, golongan wanita turut berdepan ancaman kanser ovari dan serviks. Pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa.

Mahkamah Persekutuan benar guna LKAN dalam rayuan Taman Rimba Kiara

in Mahkamah by

PUTRAJAYA – Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dibenarkan merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 dan tambahan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur dalam rayuan yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan empat yang lain untuk mengembalikan semula cadangan perintah pembangunan projek Taman Rimba Kiara.

Ia berikutan keputusan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Datuk Nallini Pathmanathan dalam memutuskan dokumen yang diminta oleh penduduk TTDI adalah dokumen awam di bawah Akta Keterangan dan boleh diterima.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu mengenai kerelevanan dokumen itu akan ditangani pada pendengaran rayuan itu.

Beliau juga berkata, peguam yang mewakili pihak-pihak dalam rayuan itu bebas untuk menyangkal dokumen berkenaan.

Hakim Nallini yang bersidang bersama Hakim Puan Sri Zaleha Yusof dan Hakim Datuk Rhodzariah Bujang berkata, dokumen itu dimasukkan dalam rekod rayuan dan oleh itu penduduk tidak perlu memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi mengemukakan dokumen tersebut sebagai bukti baharu dalam rayuan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menolak permohonan kebenaran oleh penduduk untuk memasukkan dokumen berkenaan sebagai bukti baharu dalam rayuan tersebut.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili penduduk, mahu Bab 6 LKAN 2019 Siri 2 yang diterbitkan dan dibentang di Dewan Rakyat pada 29 September 2021 dan tambahan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang telah diterima pakai dan digazetkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2018 untuk dimasukkan dalam rayuan.

Beliau berkata, dokumen berkenaan relevan untuk menentukan rayuan, terutamanya berkaitan dengan isu sama ada Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 mempunyai kesan undang-undang.

Pada 1 September tahun lepas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd (MPSB), Yayasan Wilayah Persekutuan dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan perintah pembangunan projek perumahan Taman Rimba Kiara.

Mahkamah Rayuan pada 27 Januari 2021, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 November 2018 yang menolak semakan kehakiman oleh penduduk bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.

Penduduk memfailkan semakan kehakiman itu pada 11 Ogos 2017 melalui badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouse, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium, selain Persatuan Penduduk TTDI serta empat penduduk dan pemilik rumah di TTDI.

Mereka menamakan DBKL, Yayasan Wilayah, MPSB dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Penduduk memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan DBKL berhubung cadangan pembangunan bercampur termasuk lapan blok pangsapuri servis mewah dan pangsapuri 29 tingkat terdiri daripada 350 unit rumah mampu milik yang akan dibina di atas sebidang tanah yang merupakan sebahagian daripada taman awam yang dikenali sebagai Taman Rimba Kiara.

Peguam B Thangaraj mewakili DBKL, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Khoo Guat Huat mewakili MPSB manakala Tan Sri Cecil Abraham bagi pihak Yayasan Wilayah Persekutuan dan Datuk Harpal Singh Grewal mewakili Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara. – Bernama

Kerajaan negeri diminta segera baik pulih jalan runtuh

in Edisi Utara by

BALING – Kerajaan negeri diminta menyegerakan kerja-kerja baik pulih jalan di Kampung Lahar Bongor di sini susulan kejadian tanah runtuh sejak lebih kurang tiga bulan lalu.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, meskipun jalan tersebut telah ditutup atas faktor keselamatan, namun masih ada pengguna yang berdegil melalui kawasan itu.

Menurutnya, laluan yang menghubungkan Kampung Lahar Bongor ke Kampung Teluk Sungai Durian, Baling itu telah memendekkan jarak perjalanan menyebabkan penduduk masih menggunakan jalan terbabit untuk berulang-alik biarpun mereka tahu risiko keselamatan.

“Saya lihat jalan ini telah diletakkan halangan sebagai tanda amaran tentang runtuhan tanah di sini, namun masih ada pengguna terutamanya penunggang motosikal melaluinya walaupun berbahaya,” jelasnya.

Justeru, beliau berharap agar pihak berkaitan dapat mempercepatkan kerja-kerja baik pulih laluan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Memang ada laluan alternatif lain namun jaraknya yang jauh dan melebihi tiga hingga empat kilometer membuatkan penunggang motosikal sanggup bergadai nyawa menggunakan laluan itu walaupun terdapat rekahan tidak jauh dari kawasan terbabit,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan perlu memberi perhatian sewajarnya dalam usaha menyediakan kemudahan asas yang selamat kepada rakyat.

“Kita tak mahu, apabila semakin lama dibiarkan, semakin teruk runtuhan itu berlaku terutama ketika musim hujan sekali gus mengundang kebimbangan orang ramai,” katanya.

Kembali UTAMA