PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

January 2022 - page 3

Dua pemburu haram diberkas, senapang patah dirampas

in Edisi Johor by

JOHOR BAHRU – Kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan Jalan Batu 16, Jalan Kota Tinggi- Mersing terbongkar susulan penahanan dua lelaki disyaki pemburu haram pada Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki tempatan dan warga asing berusia 33 dan 44 tahun diberkas pada jam 11.30 malam.

Beliau memberitahu, polis Johor dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Kota Tinggi melakukan satu Op Khazanah selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pemburu haram di kawasan hutan berkenaan.

“Polis turut merampas selaras senapang patah, lapan butir peluru penabur, klip besi dan batang besi berukuran 12 sentimeter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan disyaki suspek membuat sendiri senapang berkenaan kerana

tiada nombor siri atau jenama buatan.

Tambah beliau, dua suspek itu tidak mempunyai lesen berburu tetapi aktif memburu binatang liar sejak dua tahun lalu melibatkan landak, ular sawa, babi hutan.

Katanya, suspek tempatan ditahan reman empat hari manakala warga asing ditahan selama 14 hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Perlukah mansuh lorong TnG, Smart Tag?

in Lidah Pengarang by

BELUM pun reda dengan pelbagai isu di negara ini, timbul pula kontroversi yang tidak sedap didengar iaitu berhubung penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini mengumumkan akan beralih kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID di semua lebuh raya mereka bermula Sabtu lalu, sekali gus lorong Touch ‘n Go (TnG) dan Smart Tag akan dimansuhkan secara berperingkat.

Kesannya pada Sabtu lalu, ramai pengguna jalan raya merungut dan marah apabila terperangkap dalam kesesakan di lorong tol dipercayai akibat kegagalan sistem RFID.

Lebih parah apabila pengguna jalan raya yang gagal melakukan pembayaran menerusi RFID terpaksa beralih ke lorong TnG, namun mendapati baki dalam kad tidak mencukupi menyebabkan mereka dikenakan caj maksimum.

Berikutan itu tersebut, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof meminta PLUS dan TnG memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung isu itu. Fadillah meminta pihak terbabit segera menyelesaikan semua masalah supaya tidak menyusahkan pengguna jalan raya.

Tidak dinafikan penggunaan RFID mungkin memberi banyak kelebihan pada masa akan datang. Bagaimanapun, sistem itu kini dilihat sebagai menyusahkan, malah pengguna terpaksa mengeluarkan kos untuk memasang pelekat RFID. Pengguna juga nampaknya kecewa sekiranya benar lorong TnG dan Smart Tag dimansuhkan pada masa akan datang.

Bagi menyelesaikan masalah itu, lebih baik PLUS memberi pilihan kepada pengguna membuat pembayaran tol. Perlu akui, tidak semua rakyat Malaysia yang faham menggunakan teknologi baharu. Mereka yang datang dari luar bandar atau golongan berusia lebih suka penggunaan kad tol manual dan membayar secara tunai seperti sebelum ini.

Melihat kepada komen netizen di laman sosial pun, ramai berpendapat tidak perlu memansuhkan lorong TnG dan Smart Tag. Sampai ada yang merungut: “Nak bagi duit pun payah”.

Tak perlu ghairah mengejar teknologi baharu sehingga terlupa kesannya terhadap rakyat yang akhirnya menuding jari menyalahkan kerajaan.

PRN lagi: Pilihan rakyat atau percaturan politik

in Wacana by

PRN lagi: Pilihan rakyat atau percaturan politik

Desas-desus khabar angin PRN Johor ketika ini hangat diperkatakan selepas bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Osman Sapian, juga bekas DUN Kempas meninggal dunia pada 21 Disember tahun lalu. Perbezaan tipis satu kerusi perlu diisi dengan segera bagi menstabilkan kelangsungan kerajaan negeri.

Adakah mandat rakyat akan dibawa atau hanya percaturan politik semata-mata?

Saksikan diskusi lanjut dalam Wacana Siri 317 SEKARANG di semua platform media sosial kami:

Portal: www.sinarharian.com.my

Facebook: https://bit.ly/3eRMif7

Twitter: https://bit.ly/3em9ymy

Youtube: https://bit.ly/3tieLju

#WacanaSinar

#SinarUntukMalaysia

Ayob Khan mampu hapuskan ancaman dadah

in Lidah Pengarang by

TERGAMAK seorang anak yang ditatang bagai minyak penuh sejak dari lahir sanggup membunuh ibu sendiri kerana ketagihan dadah.

Kisah menyayat hati yang menimpa seorang wanita berusia 56 tahun di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor itu patut dijadikan iktibar kepada kita semua.

Sudah tentu kejadian tersebut bukanlah yang pertama dilaporkan tetapi sudah banyak kes-kes seperti itu berlaku sehingga kita tertanya-tanya, sampai bila akan terus berlaku.

Justeru, sudah sampai masanya masalah penagihan dadah di negara ini diberikan perhatian yang amat serius oleh semua pihak kerana ia melibatkan keselamatan orang lain.

Mengambil contoh tindakan keras Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang melakukan melakukan usaha memerangi dadah di negara berkenaan dengan cara membunuh pengedar di negara itu, namun Malaysia mungkin tidak akan mengambil pendekatan seperti itu kerana terlalu kejam dan mengundang kecaman antarabangsa.

Bagaimanapun, langkah melantik Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik yang baharu memberi sinaran dalam menyelesaikan isu penyalahgunaan dadah di negara ini.

Beliau seorang pegawai polis yang terkenal dengan integriti dan komitmen tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

Buktinya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya menumpaskan sindiket dadah yang menjadikan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pusing, Batu Gajah sebagai makmal pemprosesan ketamin.

Polis merampas dadah seberat dua tan bernilai RM111.2 juta yang boleh menampung 6.7 juta penagih. Difahamkan ia merupakan rampasan kedua terbesar makmal memproses ketamin selepas Johor yang melibatkan dadah bernilai RM201 juta pada tahun lalu. Pada ketika itu, Ayob Khan merupakan Ketua Polis Johor.

Oleh demikian, tindakan meletakkan Ayob Khan untuk menggalas tanggungjawab menghapuskan kegiatan dadah di negara ini tepat pada masanya.

Adalah menjadi harapan besar kepada kita semua agar ancaman dadah di negara ini dapat dihapuskan walaupun kita tahu ia amat sukar.

Kontraktor maut selepas 15 jam dirawat

in Edisi Utara by

GEORGETOWN – Seorang kontraktor maut selepas pacuan empat roda dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 4.3 Jambatan Pulau Pinang pada awal pagi Ahad.

Mangsa berusia 28 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas 15 jam menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa meninggal dunia pada jam 5.26 petang dan bedah siasat mendapati punca kematian kerana kecederaan parah di kepala.

“Kejadian berlaku pada jam 1.50 pagi melibatkan Toyota Hilux yang dipandu mangsa dengan Perodua Axia dari arah Georgetown ke Perai.

“Ketika itu Perodua Axia berada di lorong kiri dan tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh Toyota Hilux menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut berpusing lalu melanggar batu penghadang jalan di sebelah kanan jalan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah beliau, pemandu Toyota Hilux yang cedera dibawa ke HSJ manakala pemandu Perodua Axia yang berusia 38 tahun yang juga tenaga pengajar tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

21 penagih kena cekup

in Edisi Selangor KL by

KUALA SELANGOR – Seramai 21 penagih dicekup dalam dua serbuan di beberapa lokasi penagihan dadah di sekitar kawasan ladang kelapa sawit di Ijok dan Bukit Rotan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mereka yang ditahan berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun.

Menurutnya, polis merampas syabu seberat 5.20 gram dan 25 gram heroin yang dianggarkan bernilai RM1,000 manakala ujian saringan air kencing mendapati 15 daripada mereka positif dadah.

“Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada Isnin.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kebanyakan dadah dibeli dari kawasan luar dan dua port penagihan baharu beroperasi sejak seminggu lalu.

“Sarang penagihan seumpama itu kebiasaannya akan sentiasa berubah dan kegiatan berkenaan turut mengundang pelbagai jenayah lain.

“Kami akan terus menjalankan operasi dan tindakan secara berterusan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya.

1 2 3 4 5 69
Kembali UTAMA