Ancaman Covid-19 kali ini lebih menakutkan

in Pojok by

PADA mulanya Merak Jalanan hairan bagaimana kes positif Covid-19 boleh meningkat tinggi daripada 5,720 kes pada 3 Februari kepada 17,134 kes, 9 Februari lalu.

Namun, setelah Merak Jalanan dapat tahu beberapa ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan di pejabat positif virus berkenaan, barulah Merak Jalanan percaya ancaman kali ini benar belaka dan bukan cubaan.

Lebih sedih apabila keluarga abang ipar Merak Jalanan juga disahkan positif termasuk bayi berusia 12 bulan.

Nasib baik kesemua ahli keluarga yang dewasa telah ambil dos penggalak dan boleh kuarantin di rumah masing-masing.

Nampaknya ancaman kali ini lebih bahaya kerana orang yang tiada gejala masih boleh positif Covid-19.

Merak Jalanan cuma khuatir, adakah lonjakan kes bulan ini sangat tinggi disebabkan oleh kesukaran untuk mengesan siapa yang positif? Adakah kali ini risikonya lebih tinggi berbanding gelombang pandemik Covid-19 pertama pada tahun 2020?

Walaupun kerajaan memberi jaminan tidak akan menutup sektor ekonomi dan tiada sekatan rentas negeri, namun jika kes melonjak melepasi 25,000 kes sehari, berkemungkinan sekatan wajar dilaksanakan.

Untuk rekod, kes tertinggi negara adalah pada 26 Ogos 2021 iaitu sebanyak 24,599 kes.

Merak Jalanan berharap, kalau boleh jika kerajaan nak buat sekatan, buatlah dengan sebaiknya. Janganlah nanti ada menteri atau artis dapat layanan istimewa seperti sebelum ini.

Diharap kes positif harian dapat turun semula sebelum pembukaan sekolah pada 21 Mac ini.

Ia penting bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak terganggu dan bagi mengelak kita melahirkan lagi generasi murid tercicir tahun ini.

Namun, jika 21 Mac nanti kes belum surut, kementerian perlu kaji semula wajar atau tidak untuk buka sekolah.