Jumlah kes positif bukan gambaran sebenar

in Lidah Pengarang by

SEPERTI yang semua sedia maklum, kes positif naik mendadak sejak akhir-akhir ini apabila varian Omicron sudah berada dalam komuniti kita.

Fakta yang jelas, varian itu mudah merebak dan tidaklah berbahaya berbanding varian Delta yang lebih ganas.

Contohnya seperti yang dilaporkan pada Ahad. Daripada 21,072 kes harian yang dicatatkan, 20,986 kes atau 99.59 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Kategori satu ialah positif tetapi tiada gejala manakala kategori dua individu itu positif dengan gejala ringan.

Baki 86 kes ataupun 0.41 peratus adalah mereka yang tergolong dalam kategori tiga, empat dan lima.

Kategori ketiga ialah pesakit ada radang paru-paru tapi tak memerlukan oksigen. Kategori keempat, ada radang paru-paru dan memerlukan oksigen dan kategori kelima memerlukan bantuan pernafasan.

Oleh itu, dengan angka kes dan fakta yang dilaporkan, orang ramai yang telah lengkap divaksinasi dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak perlu bimbang dan gusar apabila melihat jumlah angka yang tinggi.

Kita sebaliknya boleh meneruskan aktiviti seperti biasa tanpa perlu ada perasaan bimbang memandangkan kerajaan juga telah memberi jaminan sektor ekonomi tidak akan ditutup seperti sebelum ini.

Kerajaan juga tidak akan melakukan sebarang sekatan kerana situasi yang dihadapi kini tidak sama dengan apa yang berlaku sebelum ini.

Dan disebabkan keadaan semasa ini, kita semua tidak boleh lagi meletakkan kebimbangan terhadap pandemik ini melebihi segala-galanya.

Semuanya perlu bergerak ke hadapan untuk kembali merancakkan ekonomi yang sebelum ini terbantut dua tahun kesan akibat pandemik.

Produktiviti kerja perlu kembali dipertingkatkan kerana negara kita jauh ketinggalan berbanding negara jiran dalam aspek pemulihan ekonomi.

Ayuh kita sama-sama berganding bahu bekerja bersungguh-sungguh untuk memulihkan ekonomi negara kerana manfaatnya akan kita nikmati bersama selepas ini.