Mohon hidayah bina keluarga takwa

in WacanaQuran by

KUALA LUMPUR – Keluarga takwa menjadi asas pembentukan masyarakat yang harmoni.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail berkata, melalui surah al-Fatihah jelas apabila kita memuji kepada ALLAH yang memberi rahmat dan dengan rahmat itu maka terbinanya keluarga yang ada pada setiap individu dalam kalangan kita.

“Kita memuji ALLAH Ar-Rahman, Ar-Rahim tetapi bila kita baca ‘malikiyaumiddin’ itu adalah peringatan kepada kita bahawa kita akan bertemu dengan ‘malikiyaumiddin’ iaitu penguasa hari agama, penguasa hari pembalasan, ‘Addin’ yang ada kaitan dengan ‘Addain’ iaitu hutang.

“Maksudnya, seorang ayah dan seorang ibu, kita ada hutang kereta, kita mungkin ada hutang rumah tetapi lebih daripada itu hutang kerjaya, hutang keluarga dan hutang bersama dengan masyarakat.

“Di akhirat nanti apabila kita bertemu dengan ALLAH SWT (malikiyaumiddin), ALLAH akan bertanya, salah satu hutang besar yang diberikan iaitu anugerah daripada Ar-Rahman, Ar-Rahim ialah suami, isteri dan anak-anak itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi pentadabbur pada program MYFAMILY #QuranHour #savingfamilies ‘Keluarga Takwa’ yang berlangsung di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini pada Jumaat.

Hadir sama sebagai moderator ialah Khairul Haffiz Abd Halim; qari Ustaz Mohamad Husaini dan Harith Hakimi Mohd Roslan serta jemputan khas, Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Mengulas lanjut, Fazrul berkata, di hadapan ALLAH nanti dipersoalkan apakah yang telah dibuat bersama mereka (keluarga)?

“Maka, cara bagaimana kita membayar hutang kepada keluarga kita itu ialah dengan mendidik ahli keluarga menjadi hamba yang sentiasa memohon keredaan ALLAH,” katanya.

Jelas Fazrul lagi, apabila seseorang hamba memohon hidayah untuk membina keluarga, maka di dalam surah al-Baqarah, ALLAH memberi jawapan.

“Dalam surat al-Hajj ayat yang pertama, ALLAH ingatkan sekali lagi tentang takwa. Wahai manusia hendaklah kamu bertakwa kepada ALLAH SWT,” jelasnya.

Katanya, orang bertakwa dan keluarga yang bertakwa amat sensitif dengan bahaya mendatang, itu maksud sebenar takwa.

“Mengelak perkara haram, banyak lakukan perkara yang baik, halal itu dari segi hukum tetapi daripada hati nurani saya buat perkara halal ini kerana mahukan keselamatan untuk diri dan keluarga saya.

“Saya jauhkan perkara haram kerana saya mahu keluarga saya bertakwa, ikut jalan yang benar semata-mata kerana ALLAH,” jelas beliau.