PRN Johor bukan medan uji kaji

in Wacana by

SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan medan sesuai untuk melakukan uji kaji bagi memilih kerajaan negeri, kata Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata, hal itu penting kerana rakyat tidak memilih individu untuk membentuk kerajaan tetapi memilih parti dan BN terbukti mempunyai rekod prestasi yang lebih menyakinkan untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Jangan buat uji kaji pada PRN Johor kerana Johor adalah negeri yang penting sebagai wilayah ekonomi kedua terbesar di negara ini.

“Kita (BN) ada rekod sepanjang 60 tahun…maksudnya kita bercakap tentang manifesto, BN ada manifesto dan berjaya laksanakan manifesto sebelum ini. Kami mempunyai rekod prestasi untuk melahirkan kerajaan yang stabil.

“Pihak yang tidak penuhi manifesto meminta mandat daripada rakyat, ‘ini kali lah’. (Tapi) percubaan telah gagal, mereka tidak menghasilkan kerajaan yang stabil,” katanya selaku panelis pada Wacana ‘English Edition’ bertajuk ‘Johor Polls: Emergence Of A New Power’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Khamis.

Dua lagi panelis yang bergandingan bersama Nur Jazlan adalah Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Dr Thanussha Francis Xavier dan penganalisis politik, Amir Fareed Rahim sementara Tehmina Kaoosji bertindak sebagai moderator.

Nur Jazlan berkata, adalah wajar memberi laluan kepada pemimpin generasi muda untuk memimpin namun tetap memerlukan bimbingan pemimpin yang berpengalaman.

Beliau memberitahu tidak bermaksud merendahkan kemampuan calon muda khususnya dari parti Muda, sebaliknya penting untuk mereka memahami sistem dan memperbaiki diri seterusnya mempunyai kemampuan untuk memimpin negara.

“Ini bukan masanya untuk mencuba. Kamu (Muda) memerlukan pemimpin berpengalaman.

“Saya dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beri laluan kepada orang muda supaya mereka boleh bertanding dan kemudian kita bimbing mereka dari belakang,” katanya.