Kita perlu lebih ramai Ayob Khan

in Lidah Pengarang by

BARU-BARU ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan kes dadah melibatkan anak kenamaan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

Perkembangan ini menunjukkan polis tidak memilih bulu dan bersungguh-sungguh memastikan pelaku didakwa dengan perbuatan yang boleh disabitkan dengan undang-undang. Mungkin ‘taiko’ dadah juga sedang fikir untuk menukar perniagaan dengan ketegasan polis sejak akhir-akhir ini.

Isu dadah tidak boleh dipandang ringan kerana ia merosakkan negara. Sampai bila kita nak hidup dengan masalah dadah yang tidak berkesudahan.

Akibat dadah, anak boleh membunuh ibu bapa, bergaduh sesama adik-beradik dan pelbagai kisah hitam lain yang sudah terang lagi bersuluh sehingga dipaparkan media utama dan media sosial.

Paling merisaukan apabila terdapat penguat kuasa yang diberi amanah lupa akan peranannya selaku pelindung kepada rakyat dengan mengambil rasuah bagi melindungi kegiatan dadah.

Pada masa ini, kita amat memerlukan lebih ramai individu seperti Ayob yang berani berdepan dan mengambil risiko berhadapan dengan pengedar dadah.

Bahkan, kita yakin ramai lagi anggota polis yang tegas seperti Ayob. Misalnya pada tahun lalu seramai 26 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai cawangan diberikan penghargaan oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Hamid Bador kerana melaporkan kes pemberian dan penerimaan rasuah sehingga kes berkenaan disabitkan di mahkamah.

Anggota polis seperti inilah perlu ditonjolkan agar rakan-rakan seangkatan lain berasa malu untuk mengambil rasuah dan sogokan lain.

Dalam cabaran belakangan ini, rasuah bukan hanya kepada penguat kuasa, bahkan pelbagai jabatan lain pun turut terpalit dengan salah guna kuasa.

Benar kata orang, semakin berkuasa, semakin besar ujiannya. Apabila kuasa berada dalam tangan, semestinya diduga dengan pelbagai ujian terutama melibatkan wang.

Oleh itu, setiap daripada kita perlulah kembali kepada asas agama yang mengharamkan rasuah. Masanya telah tiba, Malaysia perlu tampilkan lebih ramai anggota polis yang tegas seperti Ayob.